KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini
melepas dan membebaskan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk
Peter Anthony daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75
juta.
Ini berkaitan kes jualan tanah kepada RISDA di daerah Tongod
di antara 2014 dan 2016.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan Presiden Parti
Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu juga dibebaskan daripada
pertuduhan bersubahat dengan seorang peguam kerana melakukan pecah amanah
jenayah.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan melepas dan
membebaskan Peter daripada semua pertuduhan itu, susulan perkembangan terbaharu
dalam kes berkenaan.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, keputusan itu
dibuat selepas mempertimbang hujahan pihak pendakwaan dan permintaan pihak
pembelaan, selain peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah pelepasan
tidak akan menjadi pembebasan melainkan dengan arahan mahkamah.
"Bermakna bahawa mahkamah masih mempunyai budi bicara
untuk memberikan perintah melepas dan membebaskan (tertuduh), jika pihak
pendakwaan tidak lagi mahu meneruskan kes seperti apa yang berlaku dalam kes
ini," katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dari
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, pihaknya
menerima representasi Peter.
Haresh meminta mahkamah untuk melepaskan Peter tanpa
dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan, namun tidak menyatakan sebarang
alasan kepada mahkamah alasan Peter boleh mendapatkan pelepasan.
Sementara itu, peguam Peter, Martin Tommy berterima kasih
kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menerima surat representasi
mereka dan meminta pelepasan tanpa dibebaskan yang dikemuka pihak pendakwaan
ditukar kepada dilepas dan dibebaskan.
Martin antara lain berkata, perkara dalam kes itu
membabitkan wang berjumlah RM15 juta, sudah dibayar oleh seorang lagi tertuduh
(peguam) kepada RISDA dan itu sebagai asas beliau meminta mahkamah melepas dan
membebaskan Peter.
Pada 11 Jun 2020, Peter dibicarakan atas lima pertuduhan
berkaitan pengubahan wang haram dan menerima hasil daripada aktiviti haram
berjumlah RM8.75 juta antara 2014 dan 2016.
Semua pertuduhan dikaitkan dengan kes penjualan tanah kepada
RISDA.
Dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001
sebelum pindaan akta, manakala tiga pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 4
(1) (b) akta sama selepas pindaan.
Akta berkenaan dipinda pada 1 September 2014.
Dalam satu lagi pertuduhan, Peter mengaku tidak bersalah
pada 18 Jun 2020 atas dakwaan bersubahat dengan peguam Persius Henry Bolutong @
Michael Persius Ubu menggelapkan RM15,545,400 berhubung urus niaga tanah yang
dikaitkan dengan RISDA di antara 2014 dan 2015.
Wang berkenaan dikatakan 10 peratus daripada hasil jualan
tanah ladang kelapa sawit berkeluasan 2,739.19 hektar (6,768.688 ekar) di
Sungai Pinangah dan Sungai Labau dalam daerah Tongod.
Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca
mengikut Seksyen 409 kanun yang sama itu menetapkan hukuman penjara di antara
dua hingga 20 tahun dan dengan sebat selain boleh dikenakan denda jika sabit
kesalahan.
Sumber: Berita Harian