KUALA LUMPUR: Semua penghantar p-hailing dijangka
melakukan boikot dengan tidak akan beroperasi selama 24 jam esok sebagai tanda
tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.
Perkara itu diakui oleh Presiden Persatuan Penghantar
P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor yang memaklumkan, penghantar
p-hailing akan boikot selama sehari esok.
Beliau berkata, walaupun bukan dianjurkan oleh
persatuan, tetapi pihaknya bersolidariti bersama penghantar yang terbabit
kerana apa yang menjadi ketidakpuasan hati mereka adalah isu sama yang sudah
dibawa pihaknya namun tiada penyelesaian.
"Isu yang timbul terhadap penghantar p-hailing
adalah isu berulang yang persatuan juga sudah bantu pertahankan sebelum ini.
"Ia termasuk isu kadar upah yang tidak menentu
atau tidak tetap dan dimanipulasi syarikat serta isu tambang yang tidak
setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.
"Mungkin dengan cara ini (memboikot) boleh memberi
tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan," katanya kepada BH hari
ini.
Zulhelmi berkata, dia difahamkan tindakan itu sudah
dirancang oleh penghantar p-hailing sejak dua hingga tiga minggu lalu namun
hari ini ia mula tular.
Dia juga menjangkakan, hampir semua penghantar
p-hailing akan mengambil tindakan memboikot.
"Apa yang persatuan dan penghantar p-hailing
mahukan daripada tindakan yang dibuat ini adalah supaya syarikat penyedia
perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.
"Selain itu, kita juga mahu kerajaan tahu dan
ambil tindakan terhadap masalah dihadapi penghantar ketika ini.
"Saya yakin kerajaan sudah tahu masalah itu dan
hingga kini tiada penyelesaian, selain terus berbincang saja," katanya.
Justeru, Zulhelmi berharap orang ramai memahami
tindakan penghantar berkenaan jika esok tidak dapat menggunakan perkhidmatan
disediakan.
"Saya harap pengguna faham dengan keadaan dan
tujuan dilakukan penghantar kerana mereka hanya akan boikot sehari saja dan ia
bertujuan untuk memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan,"
katanya.
Hari ini, tular di laman sosial, penghantar p-hailing
terdiri daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan akan mengadakan boikot
selama sehari esok.
Dalam poster yang tular di platform media sosial itu
dengan perkataan 'Off 1 Hari' dan 'Food Delivery Blackout Jumaat 5 Ogos 2022'
turut kelihatan adalah tanda pagar #mogok #24jamoff # naikkanfare
#fpsembelihrider #grabsembelihrider #24hournoshift #off sehari.
Sumber: Berita Harian