Petaling Jaya: Seorang lelaki berputih mata apabila
pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 lesap
sekali mata apabila ditipu sindiket penipuan kewangan.
Lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia
membuat pengeluaran itu pada April lalu, dan wang berkenaan sepatutnya
dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank pada 21 April.
"Namun, pada hari sama berlaku tiga transaksi iaitu dua
pindahan wang dan satu lagi menggunakan e-walet.
"Apabila saya menghubungi bank, pihaknya mengesahkan
terdapat pengeluaran dan pembelian berlaku menggunakan wang di dalam akaun
milik saya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari
ini.
Menurutnya, dia sehingga kini hairan bagaimana pihak bank
boleh membenarkan transaksi itu berlaku.
"Saya tidak mengenali individu yang mengeluarkan wang
saya itu, ketika bertanya pihak bank mereka memaklumkan tidak dapat berbuat
apa-apa.
"Saya juga membuat laporan polis pada 23 April lalu,
dan turut diminta merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank," katanya.
Sementara itu, Lee berkata, pihaknya memandang serius
kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.
"Persoalannya mengapa tiada tindakan lanjut daripada
pihak bank untuk membuat pengesahan pengeluaran wang berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilan Rakyat
(PKR) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memerangi penipuan kewangan
dan scammer.
"Dianggarkan tiga mangsa bagi setiap jam menjadi mangsa
penipuan dengan kerugian sekitar RM30,000 bagi setiap seorang," katanya.
Sumber: Harian Metro