KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin
mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 12 September ini.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan
pada Isnin memaklumkan antaranya ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit
Aman Datuk Baharuddin Ahmad yang akan ditukarkan ke jawatan Timbalan Pengarah
Cawangan Khas I Bukit Aman.
Beliau berkata, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri
Hassan Basri pula akan menggantikan Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang
bersara wajib awal bulan ini sebagai Ketua Polis Perak.
"Jawatan Mohd Yusri akan digantikan oleh Komander 69
Komando, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman
Awam, Ulu Kinta Perak Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff dengan memangku pangkat
Deputi Komisioner.
"Selain itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten
Komisioner Abd Khalid Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri
Sembilan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” menurut kenyataan
itu.
Noorsiah berkata, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan
(Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman
pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan),
Bahagian sama dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
"Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling),
Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)
Bukit Aman Datuk Ghazali Daud dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan
Kaunseling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,”
katanya.
Selain itu Noorsiah berkata, Ketua Urus Setia KPN
(Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner
Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff pula dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala
Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Sumber: Bernama