BIRMINGHAM: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong
gagal dalam usahanya untuk membawa pulang pingat dalam acara wanita 10 meter
(m) platform Sukan Komanwel 2022, selepas hanya menduduki tempat ke-11 daripada
12 penerjun, di Pusat Akuatik Sandwell, di sini, sebentar tadi..
Pandelela yang hanya mengumpulkan 260.90 mata, menerima
63.00 mata pada terjunan pertama, sebelum memperbaiki terjunan keduanya dengan
menerima 66.7 mata.
Bagaimanapun aksi terjunannya selepas itu semakin
menurun dengan hanya mengutip 52.80 mata untuk terjunan ketiga, dan terjunan
terburuknya pada terjunan keempat (33.60 mata), sebelum menamatkan terjunannya
hari ini dengan 44.80 mata.
Penerjun tuan rumah menguasai dua tempat teratas dengan
Andrea Sirieix, 17, dengan terjunan yang cemerlang, membawa pulang pingat emas
dengan mengumpulkan 357.50 mata, manakala Lois Mae Toulson, menang perak
(337.30 mata).
Penerjun Kanada yang mengumpulkan 317.50 mata, menang
gangsa.
Pandelela, yang memenangi pingat emas pada edisi New
Delhi 2010 dan perak di Glasgow 2014, mengakui bahawa hari pertama
berlangsungnya acara terjun ini, bukan hari untuknya.
"Lompat tak baik sangat, sedikit sedih tak lakukan
seperti biasa, datang sini agak terkejar-kejar jadi ada sikit 'jetlag' and
penat...kadang-kadang hari ini hari anda, namun hari ini bukan hari saya,"
katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas acara tersebut.
Namun atlet dari Sarawak itu berjanji untuk kembali
dengan lebih baik dan berharap akan dapat melakukan terjunan yang lebih
konsisten dalam dua lagi acara yang akan disertainya iaitu wanita 10m platform
seirama bersama Nur Dhabitah Sabri dan 10m platform seirama campuran bersama
Jellson Jabilin.
Pada masa sama, beliau akui bahawa agak sukar untuk
memenangi pingat di sini selepas penerjun lain telah memberikan cabaran hebat
terutamanya penerjun tuan rumah, Sirieix dan Toulson.
"Hari ini hari mereka, jadi saya ucapkan tahniah
kepada mereka berdua," katanya.
Sumber: BERNAMA