PERSEMBAHAN memukau pemain perseorangan lelaki utama
negara, Ng Tze Yong pada aksi final acara berpasukan campuran merupakan titik
tolak kejayaan gemilang Malaysia dalam merampas kembali emas dengan menewaskan
juara bertahan India 3-1, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, malam tadi.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri
Mohamad Norza Zakaria ternyata kagum dengan semangat juang tinggi dimiliki
pemain ranking 42 dunia itu dalam mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia
Kidambi Srikanth, 21-19, 6-21, 21-16 sekali gus menyumbang mata kedua negara
pada perlawanan berlangsung di Dewan 5 Pusat Pameran Nasional, di sini.
"Tze Yong nampaknya dapat mengatasi situasi sukar
dengan menampilkan prestasi amat baik dan momentum itu disambung beregu wanita
kita, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand
Pullela, 21-18, 21-17 untuk menghadiahkan kejayaan luar biasa ini.
"Perlu diingat kita merupakan ‘underdog’ (bukan
pilihan) sebelum final dan bukannya ‘favourite’ (pasukan pilihan) namun kita
berjaya buktikan tiada yang mustahil,” katanya kepada pemberita selepas majlis
pengalungan pingat..
Beliau pada masa sama menjelaskan para pemain negara
nampaknya telah belajar daripada kesilapan semasa Piala Thomas 2022 di Bangkok,
Thailand Mei lepas, yang menyaksikan pentingnya untuk mencuri mata daripada kem
perseorangan seperti dilakukan Tze Yong semalam.
Malaysia yang tewas 2-3 kepada India pada suku akhir Piala
Thomas 2022 menyaksikan dua daripada tiga perseorangan negara ketika itu tumpas
seterusnya mengakibatkan mereka terus kempunan menamatkan kemarau 30 tahun
tanpa sebarang gelaran dalam kejohanan berprestij badminton berpasukan dunia
itu.
Beliau juga turut berbangga dapat melihat barisan
pemain muda membalas dendam kekalahan perit 3-1 kepada India pada edisi Gold
Coast 2018, dengan pasukan lawan mengejutkan pemain senior negara diketuai
legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
"Pada 2018, India yang ketika itu dibarisi pemain
muda seperti Srikanth serta gandingan beregu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag
Shetty menewaskan pemain senior kita, namun pencapaian hari ini ibarat satu
kejayaan balas dendam dilakukan pemain muda kita,” katanya.
Sumber: Sinar Harian