KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohd Zuki Ali mengekalkan jawatannya
sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) selama dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata,
pelantikan semula Mohd Zuki adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan
beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan.
"Adalah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan Perdana
Menteri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah memperkenankan pelantikan
semula Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara secara kontrak.
"Mohd Zuki Ali, 60, yang dilantik sebagai Ketua
Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019 merupakan seorang yang berpengalaman
luas dalam perkhidmatan awam," katanya pada Khamis.
Mohd Zuki berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan
Perniagaan dari Nanyang University, Singapura.
Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan,
Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Kementerian Sumber Asli dan Alam
Sekitar.
Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara dan
Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha
Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Sumber: astroawani.com