SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas laporan Utusan Malaysia pada 31 Julai
lalu mengenai kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau
72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung
pelajaran.
Tiga faktor utama tidak berminat menyambung pelajaran ialah
banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, ingin menjadi pempengaruh media
sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan yang
baik.
Bagi saya, usia 17 hingga 18 tahun boleh dikatakan peringkat
remaja dan bekerja seusia demikian boleh kita ibaratkan sebagai perhambaan
zaman moden kerana mereka sepatutnya masih lagi di alam pendidikan dan bukan
berada di alam pekerjaan.
Di usia yang masih mentah, tiada pengalaman dalam kehidupan
dan tidak berpendidikan tinggi maka mereka mudah dieksploitasi oleh majikan
seperti bayaran upah yang rendah dan tidak setimpal ibarat seperti hamba.
Prospek kerjaya juga tidak menentu, boleh dibuang atau
ditamatkan kerja serta banyak lagi soal kebajikan yang akan diabaikan majikan.
Sesetengah majikan di negara sedang membangun menggunakan
tenaga kerja buruh dalam kalangan remaja bawah umur supaya mereka boleh dikerah
bekerja tanpa rehat dan dibayar gaji yang sedikit.
Justeru, kita tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai negara
yang membenarkan penghambaan dan buruh kanak-kanak.
Untuk menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi, salah
satu syarat ialah sesebuah negara itu berjaya memberikan pendidikan kepada
semua rakyatnya dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.
Untuk ini, kerajaan perlu berbuat sesuatu agar semua lepasan
SPM ini lebih berminat menyambung pelajaran daripada bekerja.
Di pihak ibu bapa pula, berilah semangat kepada anak-anak
supaya terus belajar dan tidak jemu. Jangan galakkan mereka bekerja untuk membantu
keluarga.Titipkan kata-kata nasihat kepada anak-anak bahawa ilmu itu penting
seperti ungkapan belajarlah sehingga ke negeri China.
Seterusnya, bagaimanakah dasar dan pelan pembangunan
pendidikan negara akan akan dapat mencapai matlamat dan bagaimanakah natijahnya
kelak jikalau ramai anak remaja ini tidak berminat meneruskan pelajaran ke
peringkat lebih tinggi?
Juga, kita akan berhadapan dengan kekurangan dan kekosongan
jawatan untuk diisi jika ramai belia lebih berminat bekerja sendiri dan berlaku
ketidakseimbangan sektor pekerjaan terutama di bidang sains dan teknologi.
Akhirnya, remaja diharapkan tidak perlu memikirkan kemewahan
dan kesenangan mendapatkan wang sebaliknya fikirkanlah tentang masa depan dan
kuasai ilmu yang mampu menjaga kita di masa depan.
Sumber: UTUSAN