KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan untuk
memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk golongan lelaki yang bergelar 'surirumah'.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M
Saravanan, berkata pihaknya terlebih dulu perlu mengenal pasti jumlah lelaki yang
menjadi 'surirumah'.
Katanya, walaupun surirumah lelaki bukan budaya di negara
ini, namun pihaknya tiada masalah untuk memperluaskan skim berkenaan jika
terdapat keperluan berbuat demikian.
"Perkara ini dibangkitkan dalam Jemaah Menteri. Kita
perlu satu kajian yang sepenuhnya untuk kenal pasti berapa ramai suami jadi
surirumah.
"Bagaimanapun, jika diikutkan budaya di
Malaysia...majoriti suami bekerja, manakala isteri jaga rumah tangga, tetapi
kita akan mula dengan wanita dulu dan kaji dengan mendalam apa keperluan.
"Sekiranya keperluan mendesak (untuk surirumah lelaki),
kita tidak ada masalah untuk memperluaskan (skim berkenaan) walaupun kita lihat
aspek budaya dan gaya hidup (di Malaysia), angka (surirumah lelaki) memang
kecil," katanya pada sidang media khas mengenai SKSSR di Wisma HRDF di
sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed
Azman Aziz Mohammed.
RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan di Dewan
Rakyat pada 25 Julai lalu, bertujuan melaksanakan SKSSR. Skim berkenaan akan
berkuat kuasa pada 1 Disember ini.
Diluluskan secara sebulat suara, RUU itu antara lain
membolehkan SKSSR dilaksanakan bagi menjaga kebajikan surirumah akibat berlaku
sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka
daripada sebarang penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan skim berkenaan,
Saravanan berkata, ia bukan wajib atau secara paksaan kerana ia bergantung
kepada keupayaan serta kemampuan mencarum untuk isteri.
Bagaimanapun, beliau berkata, suami boleh berbincang atau
membuat permohonan kepada PERKESO sekiranya tidak ada kemampuan atau keupayaan
meneruskan caruman untuk isteri mereka.
Namun, katanya, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000
jika mereka sudah mula membayar caruman tetapi gagal meneruskannya.
"Saya merayu kepada suami mencarum serendah RM10
sebulan supaya isteri mereka memperoleh manfaat.
"Saya percaya, suami harus menunjukkan rasa sayang dan
keprihatinan kepada isteri mereka. Walaupun tidak wajib dan bukan paksaan
tetapi ia penting," katanya.
Bagi suami yang berpoligami pula, beliau mengalu-alukan
mereka mencarum untuk isteri masing-masing.
Saravanan berkata, pihaknya tidak menolak untuk
menguar-uarkan mengenai skim berkenaan menerusi kursus perkahwinan supaya orang
ramai mengetahui kewujudan dan manfaatnya.
Sumber: Berita Harian