CADANGAN kerajaan untuk menurunkan had umur penunggang
p-hailing daripada 21 tahun ketika ini kepada 18 tahun, wajar dibuat kajian
menyeluruh bagi meneliti kesan baik dan buruknya.
Jika dilihat dalam sektor ekonomi gig yang semakin
berkembang, cadangan itu pasti menggembirakan pengendali syarikat penghantar
makanan kerana syarikat itu sangat memerlukan tenaga kerja sebagai penghantar
makanan susulan permintaan tinggi bagi perkhidmatan tersebut.
Anak muda juga berpeluang meraih pendapatan lumayan, malah
difahamkan mereka mampu memperoleh sehingga RM5,000 sebulan jika bekerja
sepenuh masa.
Tawaran pendapatan tinggi itu membuatkan segelintir anak
muda yakin pekerjaan itu lebih terjamin pada masa sekarang berbanding bekerja
selepas tamat pengajian diploma atau ijazah.
Maka, sudah pasti cadangan menurunkan had umur kepada 18
tahun itu akan menarik minat remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka mungkin berbelah bahagi sama ada mahu merebut peluang
kerja sebagai penunggang p-hailing atau mengutamakan kepentingan melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Dari sudut positif, cadangan itu dilihat memberi peluang
kepada anak muda melakukan kerja sampingan pada hujung minggu bagi menampung
perbelanjaan harian.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong,
Kementerian Pengangkutan akan membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU)
pindaan akta dalam sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti
p-hailing di Malaysia.
Ia melibatkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta
333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta
Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Sebelum ini, menurut Jabatan Perangkaan, terdapat 560,000
lepasan SPM tetapi hanya 170,000 pelajar yang menyambung pelajaran, manakala
72.1 peratus atau 390,000 lagi enggan berbuat demikian.
Lebih membimbangkan, trend pada 2019 itu dipercayai
berterusan pada 2020 dan 2021.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee pula berkata, jika
kerajaan lambat bertindak, negara akan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja
profesional dalam sektor kritikal bagi 15 atau 20 tahun akan datang.
Justeru, pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) perlu memberi maklum balas mengenai cadangan menurunkan had umur
p-hailing.
Sumber: Sinar Harian