Iskandar Puteri: Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan
pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam berkuat kuasa 1
September depan tidak perlu dipertikaikan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata,
pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi mencapai
penyelesaian sekiranya ada persoalan yang timbul kelak.
Beliau merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan berkata, sebaliknya tindakan menyebarkan sesuatu
pertikaian berkaitan pelaksanaan pindaan berkenaan di media sosial hanya
menimbulkan masalah dan kekeliruan.
"Pelaksanaan ini adalah hasil dapatan kajian dibuat
termasuk dalam kalangan pekerja, persatuan pekerja dan majikan di mana ia suatu
tindakan baik tanpa menjejaskan produktiviti mahu pun kualiti.
"Apa saja kita buat pada peringkat awal, kita boleh
duduk dan berbincang sebaliknya bukan dikongsi dalam media sosial kerana ia
boleh menimbulkan masalah
"Pindaan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ada
negara maju yang melaksanakan waktu bekerja 40 jam seminggu, namun produktiviti
mereka meningkat," katanya.
Awang berkata, pindaan ini juga membolehkan pekerja
menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.
"Menerusi peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan
bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja
dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.
"Kementerian juga sedang mengkaji bagi menyediakan
prosedur operasi standard (SOP) untuk sistem bekerja dari rumah supaya ia tidak
menimbulkan sebarang pertikaian antara majikan dan pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis
Perasmian dan Penyerahan Dokumen antara Educity Iskandar Malaysia dan DOE
Training dan Consultancy bagi membangunkan sebuah pusat interaktif keselamatan
(Safe Centro) Khas untuk Kanak-kanak dan Remaja yang pertama di Johor di
Educity Complex di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Operasi EduCity Iskandar, Profesor Dr
Sakina Sofia Baharom dan Pengarah Urusan DOE, Datin Fauzirah Zainun.
Pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu
kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1
September ini.
Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja
mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari
rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.
Pindaan berkenaan bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta
memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO).
Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja
sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja
yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics
syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.
Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk
fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih
singkat.
Sumber: Harian Metro