KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani
Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang
elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan
Mat.
Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium
laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.
Acryl Sani berkata, perkara itu adalah satu isu yang serius
dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan sedang dilaksanakan walaupun tiada
laporan polis dibuat setakat ini.
"Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan
siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim
Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas
(USJT).
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak
akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan
ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan," katanya ketika
dihubungi BH sebentar tadi.
Sementara itu, berdasarkan maklumat awal sehingga jam 2.30
petang tadi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, tiada laporan
polis dibuat berhubung kes ugutan terhadap Ketua Hakim Negara.
Namun, Bukit Aman dilaporkan sedang meneliti sekiranya
laporan berhubung kes sama turut dilaporkan di IPK lain di seluruh negara.
Sumber: Berita Harian