PUTRAJAYA - Pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi
tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen
transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod
markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem
KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.
Beliau berkata, ketika ini seseorang guru itu dikehendaki
menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD).
"Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak
lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya. Begitu
juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang
buat secara manual.
"Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi
membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian
masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase
Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga Ahad di pusat
beli-belah Alamanda di sini.
Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem
pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada
kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik
semata-mata.
"Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV
Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka
faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah
transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan
dan swasta.
Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar
mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM
juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan
27 Ogos depan.
Katanya, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus
dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut
menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat
diaplikasikan.
Antara insiaitif KPM mengorak langkah ke depan transformasi
pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan
memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.
Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada
pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’
yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 September depan di seluruh negara.
Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan
guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan
pengurusan pendidikan.
Seorang Ikon Guru Inovatif Prasekolah Kartigesan, M Veloo
yang mencipta bahan inovasi Sensory Play Numerics berkata, bahan tersebut
berfungsi sebagai alat permainan yang boleh digunakan dalam bidang akademik
khas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan murid yang mempunyai
masalah pembelajaran dalam bidang Matematik.
"Subjek Matematik asas perlu dikuasai sepenuhnya oleh
pelajar agar mereka dapat menyelesaikan operasi Matematik lain yang lebih
kompleks,” kata guru Sekolah Kebangsaan Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor.
Katanya, idea menghasilkan bahan inovasi itu tercetus pada
2017 apabila mendapati ada pelajar prasekolahnya berdepan kesukaran untuk
membuat pengiraan mudah dan sehingga kini lebih 500 pelajar telah menerima
manfaat melaluinya.
Bahan yang dihasilkan dari kayu, blok dan kadbod tebal itu
turut mengandungi litar elektrik iaitu lampu akan berkelip apabila pelajar
berjaya menyusun nombor dalam susunan yang betul.
Beliau yang berkecimpung dalam bidang perguruan selama 11
tahun turut berhasrat menambah baik modul tersebut mengikut tahap kemahiran
pelajar.
Sementara itu, pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak, Muhammad
Haziq Ziman, 17, berkata, penyertaan beliau dalam pertandingan seni
International High School Arts Festival Japan memberi pengalaman luas dalam
bidang seni halus kerana dapat mengetahui mengenai hasil karya negara lain.
Ia merupakan penyertaan kedua Muhammad Haziq dalam
pertandingan itu dan kali ini, beliau menghasilkan lukisan bermotifkan elemen
haiwan iaitu Harimau Malaya dan ikan koi yang sinonim dengan Malaysia dan
Jepun.
Anak kelahiran Selangor itu berkata, beliau mengambil masa
dua minggu sahaja untuk menghasilkan karyanya dengan teknik lukisan akrilik dan
berhasrat mengembangkan minatnya terhadap bidang seni halus yang diceburi sejak
berumur lapan tahun. - Bernama
Sumber: Sinar Harian