KPM ambil tindakan guru main tiktok jika. Kementerian
Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana guru yang
didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan unsur negatif ke laman
media sosial seperti TikTok.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata,
KPM juga akan memperhalusi lebih lanjut perkara berkenaan demi memelihara nama
baik institusi pendidikan negara.
Katanya lagi, perbincangan lanjut di peringkat kementerian
itu juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang
pada masa hadapan.
“Sebagaimana ibu bapa kepada anak mereka, begitu juga dengan
guru, apabila tingkah laku mereka itu juga akan menjadi ikutan anak-anak murid,
selain daripada ilmu yang disampaikan dalam kelas.
“Jadi pada pandangan saya, sebagai guru yang terlatih ini,
mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab sebenar mereka apabila bergelar
seorang guru.
“Tugas mereka untuk memastikan anak didik mereka ini menjadi
insan yang lebih baik atau disebut kemenjadian murid. Anak murid ini harus
berjaya bukan sahaja dari segi akademik semata-mata, malah aspek rohani dan
sahsiah juga penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan pelancaran
Bamboo Pavilion, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Canselor UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik serta
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan UTAR, Tan Sri Dr Sak Cheng
Lum.
Hang Soon terdahulu diminta mengulas berkenaan tindakan segelintir
guru terutama dalam golongan muda yang memuat naik video berunsur negatif
seperti berbaur seksual ke laman TikTok, seperti yang tular baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hang Soon turut menasihatkan agar warga
pendidik dapat menggunakan media sosial dengan cara berhemah dan seeloknya
menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.
“Apa yang kita muat naik ke laman sosial ini akan menjadi
tatapan umum. Ada kalanya juga, sesuatu tindakan kita buat itu tidak dijangka
akan tular.
“Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih
berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita.
“Gunakan media sosial ini dengan cara yang elok seperti
dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh-contoh terbaik
kepada masyarakat,” katanya lagi.
Pada awal bulan ini, sebuah portal media melaporkan seorang
pemuda dikatakan guru telah memuat naik video pendek ke media sosial TikTok
yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’.
Terdahulu pada April pula, tular di laman Twitter
perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang
melakukan sesi video secara langsung di aplikasi sama sambil mengajar di dalam
kelas.
Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya
daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
kemudian dalam satu kenyataan dilaporkan menasihatkan agar golongan pendidik
dapat menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk
mempopularkan diri.
Sumber: gemilangdaily.com