Penjualan aiskrim vanila jenama Haagen-Dazs ditarik balik
dari pasaran sejak bulan lepas setelah dikesan mengandungi bahan karsinogenik
Ethylene Oxide (ETO) melebihi tahap dibenarkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
berkata sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima bulan lepas,
pihak syarikat yang mengimport aiskrim berkenaan telah menarik balik produk
terlibat di pasaran secara sukarela.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum
mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran
Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) berdasarkan
laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed
(Eurasaff)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata notifikasi tersebut menyatakan terdapat
penarikan balik produk aiskrim dari Perancis mengandungi ekstrak vanilla dari
Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap dibenarkan dan produk
itu juga diedarkan ke beberapa negara termasuk Malaysia.
"Pemantauan berterusan juga dilaksanakan bagi
memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini," katanya.
Bahan ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik
dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh
makhluk perosak seperti serangga.
Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam
bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang
bersentuhan makanan.
Dr Noor Hihsham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin
terhadap perkara boleh mengancam kesihatan pengguna dan mereka yang ragu-ragu
mengenai penjualan produk terlibat boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah
terdekat.
Pengguna juga boleh menyalurkan pertanyaan melalui laman web
http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Sumber: Bernama