Marang: Kira-kira 1,500 kekosongan pelbagai jawatan dalam
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan diisi
secara berperingkat.
Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid
berkata, ia bagi menampung kekosongan penjawatan serta anggota dan pegawai
susulan persaraan mahupun atas sebab-sebab lain.
Beliau berkata, kekosongan berkenaan akan diisi secara
berperingkat selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) membabitkan pelbagai kategori.
"Sebenarnya proses (pengisian jawatan) ini berterusan
apabila keputusan proses kenaikan pangkat diumumkan yang mana kita membuat
beberapa temu duga di peringkat tertentu.
"Selepas ia diisi, kalau ada kekosongan lagi kita akan
memohon kepada pihak JPA untuk dibenarkan ia diisi kerana ia membabitkan gaji.
"Jadi proses ini berterusan sehingga tahun depan dan
kita percaya ia bagi menampung kekosongan kerana kita tidak membuat pengambilan
sepanjang tiga tahun semasa pandemik Covid-19 dan pengambilan ini juga untuk
mengisi jawatan di balai bomba yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perbarisan Pentaulihan
Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah
Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mohammad Hamdan berkata, proses pengambilan anggota baharu
bagi mengisi penjawatan yang ada berterusan kerana dianggarkan antara 200
hingga 300 pegawai dan anggota JPBM bersara setiap tahun.
Katanya, pihaknya cuba mengisi sepenuhnya kekosongan yang
ada tetapi ia akan mengambil masa dan mengikut proses tertentu yang ditetapkan
oleh pihak kerajaan.
Ketika ditanya sama ada kekosongan itu akan merencatkan
penugasan JBPM, Mohammad Hamdan tidak menolak kemungkinan ia akan menjejaskan pengoperasian
sesebuah balai sekiranya terlalu banyak kekosongan jawatan bagi gred KB19 dan
KB22.
"Kalau 1,500 pelbagai gred (dan) kalau kita tengok
sebahagian daripada balai tertentu mungkin terencat kalau ia memerlukan krew
untuk operasi.
"Ini kerana kebanyakannya anggota di gred KB19 dan KB22
adalah anggota pelaksana untuk melaksanakan tugas operasi.
"Yang atas itu mungkin penyeliaan mungkin pengurusan
pentadbiran dan penguatkuasaan, latihan, siasatan dan sebagainya,"
katanya.
Sumber: Harian Metro