Kuala Lumpur: Pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung
pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat
kuasa pada 1 September ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
memberitahu Dewan Negara kelmarin bahawa pindaan itu bertujuan menjaga
kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan
Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan
waktu bekerja yang lebih fleksibel.
Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja
mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari
rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.
"Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk
pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu," katanya
seperti dilaporkan Bernama.
Awang berkata demikian menjawab soalan Senator Nasir Hashim
mengenai dasar kerajaan berhubung kerja empat hari seminggu terutama dalam
sektor swasta.
Sementara itu, pada Jun lalu, BH melaporkan Awang sebagai
berkata pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF)
kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1
September ini.
Pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan
kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan
perubahan tempat kerja.
"Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60
hari.
"Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja,
mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan
dengan alasan yang perlu dinyatakan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja
sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja
yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics
syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.
Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk
fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih
singkat.
Awang berkata, keputusan kerajaan dalam AKF itu bagaimanapun
tidak 'mengikat' majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta
syarikat masing-masing.
Sementara itu , beliau berkata, pihaknya bersedia membuat
kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula
dilaksanakan di beberapa negara maju.
Katanya, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara
menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti
rendah.
"Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai
perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian
Sumber Manusia (KSM) dan JPPM," katanya.
Sumber: Harian Metro