REMBAU – Seorang pewaris perniagaan kedai makan B40 di
Kampung Senama di sini terkejut apabila kedai mereka tular di media sosial
sejak awal minggu ini, sekali gus memberi rezeki kepada keluarga.
Mohammad Amirul Syafiq Abdullah, 26, berkata, kedai yang
terletak di tepi jalan Seremban-Tampin itu diusahakan oleh arwah bapa tirinya,
Muhamad Ali Rostani sejak lebih enam tahun yang lalu dan kini semakin dikenali
orang ramai.
Dia yang merupakan lulusan Politeknik Port Dickson dalam
bidang seni bina berkata, kedai itu kini diusahakan bersama dua beradik
lelakinya selepas kematian ayah tiri dua tahun lalu.
“Kalau sebut B40, memang kita tahu golongan berpendapatan
rendah, jadi arwah ayah mahu teruskan konsep ini dengan tawarkan harga makanan
mampu milik yang boleh dinikmati semua pelanggan daripada pelbagai lapisan
masyarakat.
“Kami juga masih mengekalkan harga lama iaitu RM1 untuk roti
canai, air kopi, teh bermula pukul 6 pagi. Bagi sesi makan tengah hari pula,
pengunjung boleh menikmati harga RM6 bagi sebekas siput sidut berbanding RM8
pada kebiasaannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ujar Mohammad Amirul, keluarganya juga sering mengamalkan
konsep bersedekah kepada pelanggan apabila baki kiraan sekitar 30 sen atau, 40
sen tidak perlu dibayar.
“Alhamdulilah, walaupun keuntungan tidak sebanyak mana,
namun saya gembira apabila hasil pendapatan sehari mampu membayar kos operasi
kedai, gaji enam pekerja selain untuk menambah menu makanan,” katanya.
Menurutnya, dia kini berhasrat untuk membuka cawangan kedai
makan B40 yang lain memandangkan sambutan yang diterima ketika ini sangat
menggalakkan termasuk dari penduduk luar Rembau.
Sumber: KOSMO! ONLINE