Melaka: "Kejatuhan masa lalu membuatkan saya bangkit
dan buktikan saya boleh lakukan yang terbaik," luah Nur Raidah Abdul
Majid, yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong
itu, meluahkan rasa gembira dan syukur apabila usahanya itu berjaya menebus
kekecewaan sebelum ini.
Nur Raidah, 20, antara 33 calon STPM 2021 di Melaka yang
memperoleh PNGK 4.0.
"Meskipun keputusan SPM lalu saya mendapat 4A tetapi
tidak mencapai sasaran dan itu membuat saya kecewa dan nekad perlu menebusnya
kembali.
"Alhamdulillah, berkat doa ibu ayah serta guru saya
mampu lakukannya. Saya akui ini tanggungjawab besar untuk diri kerana sebagai
anak bongsu ini peluang terkahir ibu serta ayah untuk merasai saat ini,"
katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021 Melaka, di
SMK Seri Tanjong, hari ini.
Katanya, kejayaan hari ini juga secara tidak langsung dapat
membalas pengorbanan, masa dan jasa kedua ibu bapanya yang tidak jemu memberi
semangat serta dorongan.
Bagi seorang lagi pelajar yang turut memperoleh PNGK 4.0,
Lim Sze Ling dari SMK Pulau Sebang, keputusan dibuatnya untuk mencabar tahap
keupayaan di peringkat STPM nyata membuahkan hasil dengan kejayaan diperolehnya
apabila turut menjadi antara 10 pelajar terbaik STPM peringkat Nasional.
"Bagi saya STPM adalah peluang yang sangat bagus
sebelum melangkah ke universiti, walaupun keputusan SPM saya 10A1C tetapi saya
memilih meneruskan di STPM.
"Pada awalnya memang tidak sangka dan terkejut apabila
melihat keputusan. Ibu terutamanya turut gembira dan dengan keputusan
ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Rosni
Leman berkata, daripada 1,131 pelajar yang hadir dan menduduki peperiksaan pada
ketiga-tiga semester STPM 2021 33 memperoleh PNGK 4.0.
"Gred Purata Negeri STPM 2021 bagi Melaka adalah 2.85
manakala Gred Purata Peringkat Nasional pula 2.79 mata selain 11 daripada 17
sekolah pula merekodkan kelulusan penuh 100 peratus.
"Peratusan calon STPM yang lulus penuh dalam lima dan
empat mata pelajaran adalah seramai 1,109 calon atau 99.03 peratus,"
katanya.
Sumber: Harian Metro