Kakitangan awam bakal naik gaji sebelum PRU, ini
jawapan JPA. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah melaksana beberapa
penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal
pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan
penambahbaikan jadual gaji.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd
Shafiq Abdullah berkata, contohnya pada 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan
satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) juga diberikan kepada penjawat awam.
“Penambahbaikan berterusan berhubung kebajikan penjawat
awam merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya
juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi
ekonomi serta kedudukan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan
menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau mereka akan
berpiket.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, dasar berkaitan
kebajikan penjawat awam seperti kemudahan bekerja dari rumah (BDR), waktu
bekerja fleksibel, penambahbaikan kemudahan cuti seperti cuti jaga anak
dikuarantin atau memerlukan pengasingan serta elaun, turut dipanjangkan kepada
penjawat awam.
“JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam
sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan
aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia,” katanya.
JPA juga kata beliau, sentiasa prihatin dan terbuka
dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan berkaitan kebajikan penjawat
awam.
“(Ini termasuk dari) Majlis Bersama Kebangsaan (MBK),
Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan
agensi kerajaan dan kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung,”
katanya.
Sumber: utamadaily.com