SEPANG: Selepas 'lulus' dengan cemerlang pada penampilan sulung
di Sukan Komanwel Birmingham 2022, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze
Yong akan berdepan satu lagi ujian apabila beraksi di Kejohanan Badminton Dunia
di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 28 Ogos ini.
Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia
(BWF), hari ini, Tze Yong yang layak pada saat akhir akan membuka tirai kempen
menentang juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo di
pusingan pertama.
Jika menang, dia diramal bertemu pemain Jepun, Kanta
Tsuneyama di pusingan kedua sebelum dijangka berdepan pemain nombor satu dunia
dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan ketiga.
Mengulas mengenai laluannya di Kejohanan Dunia kali ini, Tze
Yong yang berusia 22 tahun enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu,
sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan mempamerkan prestasi
terbaik.
"Saya tidak mahu terlalu fikir banyak sebaliknya akan
buat yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya akan bincang dengan jurulatih
untuk memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia kali ini,"
kata Tze Yong ketika ditemui sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Di Birmingham, Tze Yong yang menggantikan tempat Lee Zii Jia
membalas kepercayaan yang diletakkan di atas bahunya apabila beraksi cemerlang
dengan menang semua perlawanan dalam acara berpasukan campuran di Sukan
Komanwel Birmingham 2022.
Ini termasuklah ketika pemain ranking ke-42 dunia itu
menumbangkan bekas pemain nombor satu dunia, K Srikanth ketika aksi final bagi
membantu Malaysia mengatasi India 3-1 sekali gus memenangi pingat emas.
Dia juga cemerlang dalam saingan individu apabila berjaya
memenangi pingat perak.
Dalam laluannya ke final, dia mengatasi juara dunia dari
Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir sebelum sekali lagi menewaskan Srikanth
di separuh akhir tetapi terpaksa akur tewas di tangan Lakshya Sen dari India
pada penentuan emas.
Sementara itu, Zii Jia akan membuka tirai kempen di Tokyo
menentang pemain Perancis, Brice Leverdez manakala Liew Daren menentang Axelsen
di pusingan pertama.
Sumber: Berita Harian