Walaupun baru separuh musim, tahun ini menjadi prestasi
terbaik buat Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas beberapa pencapaian baharu
berjaya dilakar skuad Harimau Selatan..
Selain berjaya mencipta sejarah mara ke pusingan kalah
mati dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), JDT turut muncul pasukan paling tajam
dan paling kebal dalam saingan Liga Super setakat ini apabila sudah meledak 37
gol dan hanya bolos enam kali dalam 13 perlawanan.
Jumlah jaringan itu adalah yang tertinggi berjaya
diledak Harimau Selatan bagi tempoh perlawanan sama dalam semua musim yang
diharungi mereka sebelum ini sejak 2013.
Malah, skuad yang baru mendapat sentuhan pengendali,
Hector Bidoglio itu merekodkan 11 kali kemenangan dan mengumpul 35 mata
keseluruhan iaitu jumlah tertinggi berbanding sembilan musim sebelum ini.
Setakat ini, juara bertahan Liga Super lapan kali
berturut-turut itu sudah meledak 66 gol dalam semua pertandingan musim ini
dengan 23 daripadanya dihasilkan mesin gol mereka, Bergson Da Silva.
Sebanyak 48 daripada jumlah keseluruhan jaringan JDT
dihasilkan bahagian serangan, manakala posisi tengah dan pertahanan
masing-masing menyumbang 13 dan tiga gol.
Selangor muncul pasukan kedua paling tajam dalam Liga
Super setakat ini dengan meledak 26 gol, namun apa yang mengecewakan apabila
Gergasi Merah tampak berdepan masalah dibahagian pertahanan selepas bolos 23
kali.
Pasukan ketiga paling banyak meledak gol dalam saingan
liga utama itu adalah Sabah dengan 24 gol dengan skuad Sang Badak sudah beraksi
14 perlawanan.
Rekod paling banyak bolos ketika ini dipegang Sarawak
United yang mana 35 kali gawang mereka dibolosi dalam 14 perlawanan yang
diharungi.
Pasukan tercorot, Penang menjadi pasukan kedua
merekodkan jumlah bolos tertinggi apabila gawang mereka bocor sebanyak 28 kali
dan Kuala LUmpur (KL) City pula 25 kali bolos.
Sama seperti Selangor, naib juara musim lalu, Kedah
Darul Aman (KDA) juga dilihat berdepan kelemahan di bahagian pertahanan apabila
bolos sebanyak 24 kali musim ini.
Sumber: Berita Harian