KUALA LUMPUR : Penyanyi dan usahawan kontroversi tanah air,
Datuk Seri Vida, 50, berharap netizen dan orang ramai tidak mengaitkan dirinya
dengan kes tuntutan hadiah berupa sebidang tanah melibatkan juara program Gegar
Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Aishah Ariffin.
Menurut Vida, dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu
tersebut kerana ia melibatkan penaja lain dan bukan dirinya.
“Apa pasal ya? Asal Aishah buat tuntutan saja orang cari
saya? Apa hal ini? Saya pun jadi hairan. Rasanya ramai sudah keliru ini. Saya
tak ada kaitan pun dengan penajaan berupa sebidang tanah semasa menjayakan
program GV4 itu.
“Penaja yang terlibat difahamkan merupakan sebuah syarikat
peneraju perumahan. Sebelum ini pun, isu antara saya dengan Aishah membabitkan
tajaan hadiah barangan kemas. Tetapi, hal itu pun sudah lama selesai.
“Jadi, saya harap, jangan kaitkan dengan saya tentang hadiah
tanah itu. Saya tiada kaitan. Jangan menganiaya saya,” katanya kepada Utusan
Malaysia, semalam.
Selain itu, kata Vida, sehingga kini sukar untuk dia
melupakan isu salah faham pemberian hadiah berupa barangan kemas kepada juara
GV4 kerana ia menyebabkan perniagaan kedai emasnya terjejas teruk.
“Waktu itu memang terjejas teruk. Bukan tahap jatuh
terduduk, tapi terlentang, terguling sebab orang fitnah saya jual barang kemas
palsu.
“Untuk saya bangkit kembali, bukan senang. Tapi, saya
yakinkan diri untuk bangun semula di sebalik segala yang terjadi,” katanya.
Vida juga mengaku serik untuk menjadi penaja kepada
mana-mana program televisyen setelah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum
ini.
Kata penyanyi lagu I Am Me ini, dia mahu lebih tenang dalam
menjalankan perniagaannya supaya tidak lagi tersilap langkah.
“Memang agak serik. Tengoklah, mana ada saya jadi penaja
mana-mana program lagi buat masa ini. Tak nak dah terkena macam dulu.
“Saya ambil masa untuk bertenang. Kalau ada yang datang nak
saya taja program selepas ini, saya nak tanya apa manfaat yang kita boleh
dapat? Apa jaminan untuk diri dan perniagaan saya boleh naik? Bukan sekadar nak
glamor-glamor lagi.
“Mereka nak cari penaja untuk program mereka, tapi kita
sebagai penaja tidak dilayan sepatutnya. Seriklah saya,” katanya.
Terdahulu, Aishah yang menjuarai program GV4 pada tahun 2017
mendakwa sehingga masih belum menerima hadiah berupa sebidang tanah lot banglo
yang dijanjikan oleh penaja.
Berikutan itu, dia terpaksa membawa perkara tersebut ke
mahkamah untuk diselesaikan secara perundangan.
Kemenangan di GV4 juga menyaksikan Aishah membawa pulang
wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah,
barangan kemas, baucer membeli-belah bernilai RM6,000 serta piala.
Sumber: UTUSAN