KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) akan memperluaskan Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman
perbadanan itu kepada semua kategori peminjam yang bergraduat bermula tahun
2019 tanpa mengira had pendapatan.
Pengerusinya, Apli Yusoff, berkata perkara itu selaras
dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena
Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, kelmarin.
"PTPTN menyambut baik pengumuman mengenai insentif
memberikan semula keistimewaan kepada pelajar yang membuat pinjaman PTPTN dan
mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa
dan agama untuk ditukarkan pinjaman kepada pengecualian bayaran balik pinjaman
bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.
"Sebelum ini mulai tahun 2019, pengecualian
bayaran balik pinjaman PTPTN hanya diberikan kepada peminjam yang mendapat
Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bagi kategori kumpulan B40 dan M40,"
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehingga 31 disember 2021, seramai 79,472 peminjam
telah mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.
Apli berkata, bagi memastikan insentif ini dilaksanakan
dengan berkesan, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan
berkaitan peruntukan dan kaedah pelaksanaan akan dimaklumkan selepas
dimuktamadkan.
"Pemberian insentif ini jelas menunjukkan
keprihatinan kerajaan dan sebagai dorongan untuk menggalakkan pelajar yang
merupakan peminjam PTPTN untuk mencapai pendidikan dengan cemerlang.
"PTPTN sebagai agensi bawah Kementerian Pengajian
Tinggi sentiasa komited memastikan agar urusan berkenaan pengecualian bayaran
balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam
PTPTN," katanya.
Sumber: Berita Harian