PUTRAJAYA: Hakikat tidak dapat disangkal bahawa RM42 juta
dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri itu
secara sedar menggunakannya untuk faedah peribadi, walaupun jika transaksi wang
dilaksanakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Usaha Najib yang mahu mahkamah mempercayai bahawa beliau
tidak mengetahui wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya yang sudah tentu
bukan satu jumlah yang kecil, adalah sia-sia.
Dalam hujahannya terhadap rayuan terakhir Najib bagi
mengenepikan sabitan hukuman kes SRC International, Timbalan Pendakwa Raya
Kanan, Datuk V Sithambaram, berkata antara Jun 2014 dan Februari 2015, Najib
sedar bahawa dia hanya mempunyai RM49 juta melalui dakwaannya bahawa ia adalah
derma Arab yang keempat.
Sithambaram berkata, wang itu pun dihabiskan Najib kecuali
kira-kira RM6 juta yang terdiri daripada deposit tunai RM5 juta (bukan derma
Arab) sebelum kemasukan RM42 juta.
Oleh itu, katanya ia menjadikan RM42 juta yang masuk ke
dalam akaun bekas Perdana Menteri itu adalah peningkatan sebanyak 100 peratus.
"Namun, perayu 'menutup mata' dan menyatakan bahawa dia
tiada pengetahuan mengenai RM42 juta ini dan mendakwa tidak mengetahui dana
yang dibelanjakannya.
"Kami menyatakan malah derma Arab yang dikatakan habis
tidak dapat membantu naratif perayu.
"Fakta bahawa perayu mengeluarkan cek atau memindahkan
dana keluar, malah kadang-kadang sebelum dana itu benar-benar masuk ke dalam
akaunnya menunjukkan dia mempunyai pengetahuan mengenai dana yang masuk,"
katanya.
Sithambaram juga berkata, khidmat pesanan ringkas (SMS)
Blackberry menunjukkan bahawa Najib menggunakan Jho Low untuk mengesahkan baki
wang dalam akaunnya, untuk memastikan bahawa dia mempunyai kredit mencukupi
bagi perbelanjaan kad kredit dan cek yang sudah atau yang akan dikeluarkan.
Beliau berkata, SMS diterima Najib membuktikan dia
mengetahui baki dalam akaun bank dan baki kad kredit, lantas adalah mustahil
tidak mengetahui jumlah kredit dan debit sebanyak RM606,510,436.66 dalam tiga
akaun semasa yang dikendalikan selama tiga tahun sebelum menutup semua akaun
pada 9 Mac 2015 seperti terzahir dalam semua penyata akaun.
"Responden berhujah bahawa keterangan ini jelas
membuktikan bahawa perayu mempunyai pengetahuan sebenar berhubung status dan
transaksi dalam akaunnya.
"Hakim menimbangkan kaitan di antara SMS Blackberry dan
nilai pembuktian dan mendapati ia adalah bukti yang tidak dapat dipertikaikan
yang menunjukkan pembabitan Jho Low dalam menguruskan akaun bank perayu seawal
tahun 2011.
"Perbualan Blackberry menimbulkan inferen kukuh bahawa
perayu sudah semestinya mengetahui status, transaksi keluar masuk yang tidak
terkira banyaknya dalam akaunnya dan baki sebenar untuk membolehkan dia
menggunakan dana itu termasuk wang SRC yang masuk ke dalam akaun banknya,"
katanya.
Hujahan bersambung petang ini.
Sumber: Berita Harian