SHAH ALAM - Terdapat golongan terjejas yang memilih
mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini langsung tidak
mempunyai caruman untuk usia persaraan itu.
Memetik laporan Astro Awani, itu realiti yang mendepani satu
daripada tiga responden sebagaimana dinyatakan Laporan Meniti Titian Hidup:
Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.
Hasil kajian berkenaan turut mendapati 57.9 peratus
responden telah mengeluarkan KWSP sebelum mencapai had umur pengeluaran mereka.
“Perkara ini sangat membimbangkan kerana perlindungan masa
hadapan sangat penting bagi meneruskan kehidupan di hari tua nanti.
“Situasi semasa mereka yang terjejas amat kritikal pada masa
hadapan jika tiada intervensi khusus dilaksanakan,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu juga menyebut 64.9 peratus daripada golongan
yang terkesan akibat kenaikan harga barangan terdiri daripada mereka yang
bekerja di sektor swasta dan sektor tidak formal, termasuk bekerja sendiri.
Selain itu, kebanyakan mereka, iaitu 56.9 peratus responden,
yang terkesan akibat kenaikan harga ketika ini, tidak mempunyai sebarang
perlindungan sosial seperti KWSP, Perkeso dan lain-lain.
Menurut Astro Awani, memetik laporan berkenaan, dapatan itu
memberi cerminan bahawa kumpulan isi rumah yang terjejas menghadapi risiko
apabila mereka menyertai sektor pekerjaan yang tiada perlindungan sosial serta
simpanan masa hadapan, sekali gus akan menyebabkan ketidaktentuan kepada
persediaan menghadapi hari tua.
Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi
merupakan dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 itu adalah hasil
kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani
dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah
baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.
Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan
24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang
dengan 18 daripadanya adalah PPR.
Sumber: Sinar Harian