TANJUNG MALIM: Pelari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad
Fakhrul Abdul Aziz merangkul gelaran raja pecut bagi temasya Sukan Institusi
Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas memenangi acara pecut 100 (m) lelaki,
sebentar tadi.
Perlumbaan yang berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Muhammad Fakhrul menamatkan perlumbaan
dengan catatan masa 10.73 saat (s) sekali gus mengesahkan namanya selaku
pemenang pingat emas.
Pingat perak dimenangi atlet Universiti Malaysia Perlis
(UniMAP), Mohamad Raimi Mustaffa dengan catatan masa 10.87s, manakala Muhammad
Yusridzwan Danial Yusof dari UPSI melengkapkan podium di tempat ketiga
(10.88s).
Muhammad Fakhrul berkata, kemenangannya kali ini adalah
rezeki dan permulaan yang baik buatnya selepas hampir dua tahun tidak beraksi
di trek balapan akibat beberapa masalah dialaminya.
"Alhamdulillah ini rezeki Allah bagi. Walaupun saya tak
bertanding lebih dua tahun atas sebab-sebab tertentu, tapi saya berjaya
melakukannya di sini.
"Pada perlumbaan tadi, saya langsung tidak memikirkan
berkenaan perkara itu dan apa yang saya mahu buat adalah untuk berlari.
."Selepas ini saya mahu fokus kepada Sukan Malaysia
(SUKMA) dan mahu buat lebih daripada ini untuk mencerahkan peluang saya meraih
tempat dalam skuad kebangsaan," katanya ketika ditemui sejurus tamat
perlumbaan.
Sementara itu, gelaran ratu pecut SUKIPT 2022, menjadi milik
atlet dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Aishah Rofina Aling yang
menamatkan perlumbaan 100m wanita dengan catatan mata 12.25s.
Perak dan gangsa masing-masing diraih atlet Universiti Putra
Malaysia (UPM), Eng May Xin Winnie (12.59s) dan Darshini K Murugan (13.04s).Nur
Aishah mengakui, catatan masa yang dibuat kali ini adalah catatan peribadi
terbaiknya dalam tahun ini.
"Alhamdulillah saya gembira dengan perlumbaan saya hari
ini. Untuk pengetahuan catatan masa yang dilakukan saya ini adalah catatan
terbaik saya tahun ini.
"Selepas ini saya akan tumpukan perhatian pula di SUKMA
yang akan berlangsung pada bulan depan," katanya
Sumber: Berita Harian