KUALA LUMPUR: Isu kenaikan kadar bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan kenaikan kos sara hidup antara
perkara yang akan dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Persoalan itu akan diajukan oleh Mohd Salim Sharif
(BN-Jempol) semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan kepada Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Mohd Salim ingin tahu sama ada kementerian mempunyai
rancangan untuk menaikkan kadar bantuan bulanan kepada penerima sedia ada
supaya ia selari dengan kenaikan kos hidup masa kini.
Turut menjadi perhatian Ahli Parlimen ialah impak
jangka panjang pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dibangkitkan oleh Natrah Ismail
(PH-Sekijang) kepada Menteri Kanan Pendidikan.
Beliau juga ingin tahu mengenai mekanisme Kementerian
Pendidikan (KPM) untuk mengukur kelayakan kemasukan pelajar ke asrama penuh
atau ke kolej lepasan tingkatan tiga selepas peperiksaan UPSR dan PT3
dimansuhkan.
Sementara itu, Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta
Menteri Kewangan menyatakan jumlah rizab negara setakat Mei 2022 dan jumlah
rizab antarabangsa Bank Negara setakat Mei 2022 serta rancangan kerajaan untuk
meningkatkan rizab negara.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula
mengutarakan soalan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan
kriteria yang akan diperhalusi oleh kementerian dalam membuka sempadan negara
kepada lebih banyak negara luar seperti China.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan
sambungan perbahasan rang undang-undang bacaan kali kedua antaranya Rang
Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, Rang
Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang
Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Sumber: BERNAMA