“Dia ni ketagih belajar ke?”, Dah ada 4 ijazah serta 3
kelulusan profossional, nak sambung Phd pulak. Dah 5 Kali Masuk Uni & Ada 4
Ijazah Serta 3 kelulusan Professional, Lelaki ‘Ketagih’ Belajar Kini Sambung
PhD Pula
“Tuntutlah ilmu hingga ke menara gading”. Itu kata-kata
keramat yang sentiasa menjadi ‘siulan’ ketika di sekolah. Pastinya ramai yang
mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke universiti kerana ia sering dianggap
sebagai platform untuk mendapatkan masa depan yang cerah.
Pun begitu, perjalanan menuntut ilmu pastinya penuh liku.
Malah jika ditanya kepada kebanyakan graduan, mungkin ramai
yang berfikir dua tiga kali untuk menyambung pelajaran dek kekangan kewangan
dan komitmen lain seperti bekerja, kesibukan menguruskan bisnes mahupun
anak-anak yang masih kecil. Bagi golongan ini, satu ijazah sahaja sudah mungkin
cukup bagi mereka untuk melangkah ke alam kerjaya.
Namun, ada juga yang memilih haluan berbeza.
Kerana kecintaan luar biasa terhadap ilmu, Fariz Helmi, 38,
sudah lima kali menyambung pelajaran ke universiti. Bukan di satu universiti,
malah dia juga turut diterima masuk ke empat universiti di Malaysia hingga
pernah mendapat Best Academic Award dan lulus tiga kelulusan profesional.
Kongsi Fariz, dia telah menamatkan pengajian di peringkat
diploma sebanyak satu kali, mempunyai tiga kelulusan profesional dan telah
menerima empat ijazah termasuklah Ijazah Sarjana.
Bermula dari pelajar Late Bloomer
Bukan saja-saja, rupanya ada sebab mengapa lelaki ini
memilih untuk terus melanjutkan pelajaran sehingga memiliki empat ijazah dan
satu diploma.
Menurutnya, dia tergolong dalam kategori pelajar Late
Bloomer di mana dia sering kali gagal dalam peperiksaan pada zaman persekolahan
dan hampir tidak menyambung belajar di universiti selepas tamat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
“Walau bagaimanapun, apabila melangkah ke alam universiti,
saya mula sedar bahawa mendapat gred yang rendah ketika SPM bukan penentu masa
depan. Alam universiti telah mengubah hala tuju hidup saya,” katanya ketika
dihubungi oleh SK.
Ada empat ijazah
Bercerita mengenai perjalanan akademiknya, anak ketujuh
daripada sembilan adik-beradik ini memulakan perjalanan Pengajian Pertama dalam
Diploma Fast Track Pengurusan Perniagaan di UiTM Shah Alam pada tahun 2002.
Dia kemudian meneruskan Pengajian Kedua di universiti yang
sama dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kewangan (BBA Finance) di Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada tahun 2004 hingga 2006.
Pada tahun 2009 pula, dia memutuskan untuk menyambung
pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains Kewangan (Master Degree) di Universiti
Utara Malaysia (UUM).
Ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di UUM, dia
mendapati minatnya dalam bidang Harta Tanah sangat tinggi kerana peluang
pekerjaan dan perniagaan dalam sektor hartanah sangat luas.
Jelasnya, dia pada ketika itu ingin menjadikan harta tanah
sebagai bidang kepakaran beliau sekali gus terus menyambung Pengajian Keempat
beliau dalam bidang Sarjana Harta Tanah (Master Degree) di Universiti Malaya
(UM) pada tahun 2013.
Makin belajar makin dahagakan ilmu. Selepas menamatkan
pengajian di situ, dia merasakan serba tidak cukup dengan ilmu harta tanah yang
diperolehi.
“Terdapat banyak soalan berkaitan harta tanah yang belum
dijawab, pengiraan penilaian hartanah yang tidak sempurna pada ketika itu,”
katanya.
Susulan itu dia membuat keputusan untuk mendaftar sebagai
pelajar bagi Pengajian Kelima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Hartanah
(Degree) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2014.
Tiga kelulusan profesional
Selain pencapaian Akademik, Fariz juga telah mengambil
peperiksaan profesional yang diiktiraf oleh negara Malaysia dan juga
antarabangsa.
Ini sekaligus membolehkannya mempunyai tiga kelulusan
profesional iaitu International Certified Valuation Specialist (IACVS),
Certified Financial Planning (CFP) dan Shariah Registered Financial Planner
(RFP).
Tidak terhenti setakat itu, Fariz juga sedang mengusahakan
pengajian PHD di UTM dalam bidang Pelaburan hartanah.
Bercakap mengenai kos kewangan pengajian pula, Fariz
memaklumkan bahawa sumber bayaran yuran pembelajarannya datang dari dua sumber
iaitu bantuan biasiswa dan juga pengeluaran akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP).
Sepanjang tempoh belajar, Fariz juga telah dianugerahkan
tiga biasiswa iaitu HSBC Scholarship Award, Mybrain15 Scholarship dan Biasiswa
MARA.
Ditanya mengenai cabaran di universiti, dia berkata bahawa
proses pengajian di UTM sangat mencabar baginya kerana tempoh pengajian yang
panjang.
“Allah saja yang tahu sudah berapa kali saya hampir berputus
asa menamatkan pengajian kali ini.
“Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menamatkan
pengajian kerana tidak mendapat apa-apa pengecualian subjek dalam program
ijazah tersebut.
“Banyak juga cabaran lain contohnya pengurusan keluarga dan
lain-lain,” katanya.
Tetapi pada akhirnya, kesemua cabaran tersebut dapat
ditempuhi dan dia berjaya lulus program ijazah itu dengan cemerlang sekaligus
menerima status ‘Anugerah Dekan’ bagi majlis konvo baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fariz turut mendapat penghargaan iaitu
dilantik sebagai Industry Advisory Panel bagi tiga universiti terkemuka di
Malaysia iaitu Albukhary International University (AIU), Universiti Malaya (UM)
dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pelantikan tersebut adalah pengiktirafan buat dirinya
sebagai seorang yang pakar dalam bidang harta tanah dan kewangan.
Rancang ingin jadi penasihat kewangan
Di masa hadapan pula, Fariz merancang untuk menubuhkan Firma
Penasihat Kewangan yang bertauliah merangkumi aset pelaburan ekuiti, pelaburan
tetap dan juga pelaburan hartanah apabila dia bersara dari dunia pekerjaan.
Dalam perkongsian yang dikirim kepada SK, Fariz turut
menitipkan nasihat kepada orang ramai yang ingin menyambung pengajian.
Walaupun ramai orang pada hari ini hanya berfikir tentang
bagaimana ingin menjadi kaya dalam masa yang singkat, Fariz berpendapat
sebaliknya.
“Bagi saya duit dan harta di dunia ini datang dan pergi,
akan tetapi kelulusan akademik dan ilmu di dada akan kekal bersama individu
seumur hidup.
“Jadi bagaimana teruk dugaan yang perlu diharungi serta
tempoh masa yang perlu diambil, ilmu adalah teras kejayaan individu.
“Dengan ilmu dan kelulusan yang ada, seseorang itu akan
terus berdiri dan berjaya tidak kira apa jenis dugaan yang dirintangi,”
katanya.
Melalui perkongsian Fariz, semangat dirinya untuk terus
menuntut ilmu sememangnya perlu dicontohi.
Mungkin ada yang berfikir tidak mampu untuk membawa subjek
di universiti tetapi kejayaan Fariz boleh dijadikan semangat untuk terus
menuntut ilmu.
Lagi pula, kehidupan di universiti boleh mengubah
personaliti, sikap seseorang menjadi lebih matang, berdikari dan lebih positif.
Tidak dinafikan akan ada cabaran ketika menuntut ilmu, namun kepuasan apabila
menghadapi cabaran tersebut boleh mengatasi segala-galanya.
Oleh demikian, sekiranya ada niat untuk sambung belajar,
teruskanlah dan jangan
berhenti di sekerat jalan. Fariz Helmi telah membuktikan
kepada kita yang dia boleh berjaya, jadi tiada alasan untuk kita tidak berjaya
Sumber: inforakyat.net