LAHAD DATU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob, akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam terutama melibatkan
sistem saraan pada 30 Ogos ini.
Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya berharap
kerajaan dapat melaksanakan sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil
serta saksama untuk semua penjawat awam di negara ini.
"Diharap ada khabar gembira daripada Perdana Menteri
pada perhimpunan bulanan penjawat awam hujung bulan ini.
"Pada luaran, orang melihat penjawat awam bahagia,
namun hakikatnya tiada siapa yang mengetahui melainkan penjawat awam itu
sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceupacs Bersama Penjawat
Awam di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, satu mesyuarat kongres Ceupacs telah diadakan di
Kota Kinabalu pada Jun lepas dan segala input yang diperoleh berkaitan
keperluan penjawat awam, sudah disampaikan kepada kerajaan.
Cuepacs menurutnya berjuang memastikan kebajikan penjawat
awam terjamin sewaktu negara berhadapan pandemik Covid-19 dan akhirnya
bersetuju memberi antaranya bantuan khas.
Sumber: Bernama