Selayang: Kenaikan gaji minimum dan elaun tambahan bagi
penjawat awam menjadi antara fokus yang boleh dijadikan keutamaan kerajaan buat
masa ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, khabar gembira itu diharap dalam
direalisasikan kerajaan dalam Majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam, 30 Ogos
ini.
Menurutnya, cadangan gaji minimum penjawat awam dinaikkan
kepada RM1,800 sebulan perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira kos sara
hidup yang semakin meningkat pada pasca pandemik ini.
Beliau berkata, elaun tambahan berjumlah RM150 juga boleh
ditambah dalam Imbuhan Tetap Penjawat Awam atau Elaun Perumahan.
"Cuepacs berharap ada pengumuman gembira akan dibuat
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis perhimpunan hujung
bulan ini.
"Tuntutan ini selari dengan kenaikan kos sara hidup dan
ia dilihat relevan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin menghimpit
penjawat awam," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan dan
Sambutan Kempen Jalur Gemilang Majlis Perbandaran Selayang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kini penjawat awam menerima gaji minimum
RM1,200 selain beberapa elaun yang menjadikan jumlah pendapatan keseluruhan
RM1,900 sebulan.
Katanya, kenaikan gaji minimum kelak boleh meningkatkan
taraf hidup dan kuasa beli dalam kalangan penjawat awam.
"Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk
menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2025,"
katanya.
Menurutnya, perkara itu sudah disuarakan Cuepacs dalam
pertemuan bersama Perdana Menteri sebelum ini dan pihaknya berharap ia dapat
direalisasikan.
- tamat
Sumber: Harian Metro