Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
hari ini memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam
pada 30 Ogos ini.
Beliau berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya
sentiasa menghargai pengorbanan penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan, di
bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, di saat negara sedang mengalami kesusahan
seperti banjir besar yang tidak dijangka, pasukan keselamatan seperti Polis
Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat,
Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan,
Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas
tanpa lengah dan penuh dedikasi.
"InsyaAllah, kita akan mengumumkan sesuatu yang
menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat
Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.
"Tunggulah saya pun tengah fikir mengenainya,"
katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan
Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Ismail Sabri
berkata, ada banyak cerita kesedihan petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga
dan nyawa dalam menangani virus itu.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira
tidak didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.
Menurutnya hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya, membolehkan Malaysia
menjadi antara negara yang mencatat kadar vaksinasi terpantas, seterusnya
memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.
"Sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan
jika ia mendapat dukungan daripada semua pihak. Alhamdulillah, kerajaan
Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan
penjawat awam.
"Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal
berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan
kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan
mereka," katanya.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut mewakili kerajaan
mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus-lumus
menyelamatkan mangsa Covid-19.
Sumber: Harian Metro