KOTA KINABALU - Pas Sabah meminta Polis Diraja Malaysia
(PDRM) membatalkan serta-merta keputusan memindahkan sembilan anggota polis
yang disiasat berkaitan dengan kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah, Abdul Hisham Othman berkata,
Pas Sabah juga turut menasihatkan pegawai yang membuat keputusan itu supaya
lebih berhati-hati dalam sebarang keputusan pada masa hadapan.
"Saya ingin menegaskan bahawa setiap salah laku pegawai
dan anggota pasukan PDRM apatah lagi yang melibatkan kesalahan jenayah harus
dikenakan pertuduhan di mahkamah selepas siasatan yang menyeluruh dilakukan.
"Mereka yang terlibat mestilah dituduh dan diadili oleh
mahkamah serta sekiranya disabit kesalahan mesti dijatuh hukuman yang setimpal
mengikut peruntukan dalam undang-undang negara.
"Sementara menanti disabitkan kesalahan, mereka mesti
digantung dari menjalankan apa-apa tugasan dan dipastikan bahawa mereka tidak
akan mengganggu saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Yang Dipertua Pas Keningau itu turut berkata, tiada sebarang
keistimewaan atau pendakwaan terpilih kepada mana-mana pegawai atau anggota
pasukan keselamatan.
"Memandangkan mereka merupakan sebuah badan yang
bertanggungjawab melindungi orang awam dan mempertahankan kedaulatan undang-undang
sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara," katanya.
Sumber: Sinar Harian