Petaling Jaya: Penyanyi Aizat Amdan, 33, mengumumkan
bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan juga pengurusnya Elyssa
Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini selepas tiga tahun bercinta.
Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan berkata
dia turut mencipta lagu khas yang didedikasikan buat bakal isterinya itu
berjudul Hanya Kita Dua.
"Insya Allah saya akan berkahwin dengan jodoh saya
pada minggu depan. Kami bertemu dalam hampir tiga tahun dan mulanya sahabat
saja. Bila lama-lama, secara semula jadi bercinta dan timbul hasrat untuk
berkahwin.
"Lagu Hanya Kita Dua istimewa sebab saya tujukan
kepada dia. Lagu kahwin selalunya perlahan, santai, tapi saya nak buat lagu
yang lebih 'funky'. Ia lagu keraian sebab terlalu gembira jumpa seseorang yang
istimewa.
"Dia seorang yang berbeza, petah bercakap, dan
tenaganya mengagumkan. Lagu ini sangat menggambarkan perwatakan dia,"
katanya pada sidang media pelancaran lagu terbabit, hari ini.
Aizat berkongsi dia berani melamarnya kerana Elyssa
yakin dia layak jadi suaminya. Elyssa juga mengajarnya supaya tak pentingkan
diri sendiri apalagi dia jenis menyendiri.
"Dia buka hati saya jadi lebih mudah berkongsi
perihal peribadi," katanya.
Elyssa yang hadir menemani Aizat hari ini juga
berkongsi mereka awalnya cuma berkenalan atas dasar kerja.
"Aizat seperti rakan karib dan saya tak perlu
berpura-pura. Kami pun berkongsi sifat sama seperti gemar makan.
"Dulu saya pernah temubual dia dan terus terang
tak kenal dia sangat. Bila sudah borak rupanya kami tinggal dalam kawasan
sama," katanya.
Pasangan itu akan melangsungkan pernikahan secara
tertutup di E-Park, Puchong, Selangor. Resepsi juga akan diadakan pada hari
sama.
Terdahulu, majlis merisik pasangan itu diadakan pada
Februari lalu.
Lagu Hanya Kita Dua ciptaan bersama Mel Rahman itu
dilancarkan pada hari ini di semua platfrom digital muzik. Lirik videonya mula
ditayangkan secara rasmi jam 9 malam ini menerusi YouTube Aizat Amdan.
Sumber: Harian Metro