KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan
membuat percubaan terakhir esok dalam usaha untuk menangguhkan prosiding rayuan
akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang
dihadapinya.
Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan peguam utama
Najib yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, Hisyam Teh Poh Teik untuk
menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam memerlukan
lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, pilihan tunggal
terakhir yang ada adalah pada prosiding esok sebelum mahkamah mula mendengar
rayuan akhir, Hisyam boleh memohon sekali lagi untuk diberikan lebih masa untuk
membuat persediaan.
"Itu adalah pilihan tunggal dan terakhir yang ada.
Sekiranya ia gagal, maka rayuan perlu diteruskan esok," katanya kepada BH.
Peguam itu menambah, Najib tidak boleh mengemukakan semakan
terhadap keputusan panel berkenaan.
Bagaimanapun, peguam Fahmi Abd Moin berkata Najib masih
berpeluang untuk mengemukakan semakan terhadap keputusan panel yang menolak
permohonannya bagi menangguhkan rayuan akhir dan memasukkan bukti tambahan
dalam rayuan berkenaan.
Najib boleh mohon tangguh di hadapan panel hakim lain
Menurut bekas timbalan pendakwa raya itu, peguamnya boleh
membuat permohonan itu di hadapan panel lain mengikut Peraturan 137
Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.
Peraturan itu menyebut bahawa tiada apa-apa dalam peruntukan
berkenaan dianggap mengehadkan atau menjejaskan kuasa budi bicara mahkamah
untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat sebarang perintah yang mungkin
perlu bagi mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses
mahkamah.
Jelas Fahmi, kuasa budi bicara itu merujuk kepada panel lain
yang mempunyai kuasa sama dengan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang
membuat keputusan semalam.
Panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku
Maimun Tuan Mat semalam dalam keputusannya, berkata mahkamah sudah mengingatkan
sebanyak empat kali bahawa ia tidak akan membenarkan prosiding ditangguhkan
walaupun berlakunya pertukaran peguam perayu.
Panel juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk
memasukkan bukti tambahan membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd
Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhirnya.
Panel membuat keputusan itu selepas mendapati ia gagal untuk
melihat bagaimanaperanan Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini selaku Kaunsel
dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank boleh memberi kesan kepada penemuannya
dalam perbicaraan SRC.
Sumber: Berita Harian