KUALA LUMPUR: Sebanyak 982 daripada 98,196 unit rumah
Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan untuk pemilikan Orang Kurang Upaya
(OKU) dengan pengisian terkini adalah sebanyak 809 unit (82 peratus) dan
berbaki 173 unit (18 peratus).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri
Dr Ismail Abd Muttalib berkata jumlah unit rumah yang disediakan itu adalah
selaras dengar dasar kementerian yang menetapkan satu peratus daripada
keseluruhan unit PPR diperuntukkan kepada golongan OKU bagi memastikan mereka
memiliki rumah.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
bertanggungjawab dalam menyediakan perumahan yang berkualiti, kondusif serta
mampu dimiliki untuk kumpulan sasar termasuk golongan rentan seperti OKU.
“Dasar Rumah Mampu Milik Negara telah menggariskan keperluan
untuk menyediakan konsep rumah yang mesra OKU dengan menerapkan piawaian
spesifikasi Reka Bentuk Sejagat seperti tempat letak kenderaan OKU, lif mesra
OKU dan suis atau plug capaian OKU,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan
Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk
Ras Adiba Radzi mengenai peluang golongan OKU untuk memiliki rumah serta jumlah
OKU yang telah menerima manfaat melalui skim perumahan di bawah KPKT.
Mengulas lanjut, Ismail berkata KPKT telah memperkenalkan
Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bagi meningkatkan
aksesibiliti rakyat khususnya golongan B40 dan M40 termasuk OKU untuk
mendapatkan pembiayaan bagi memiliki rumah pertama di bawah Program Pemilikan
Kediaman (HOPE).
Menjawab soalan tambahan Ras Adiba sama ada kerajaan
bersedia meminda akta berkaitan untuk memastikan semua projek perumahan
menepati piawaian untuk OKU, Ismail berkata penetapan piawaian spesifikasi
berkaitan reka bentuk perumahan untuk OKU telah digariskan dalam Standard
Perumahan Kebangasaan 2019.
“Spesifikasi ini masih relevan diguna pakai dalam setiap
pembangunan perumahan. Buat masa ini, tiada keperluan untuk meminda garis
panduan ini dan KPKT bersedia menambah baik dasar dan garis panduan sedia ada
untuk memastikan semua golongan termasuk OKU disantuni dalam penyediaan bekalan
perumahan kepada mereka.
“KPKT juga bertanggungjawab memastikan pemaju dan kontraktor
mematuhi syarat ditetapkan melalui Akta OKU 2008 (Akta 685) dan Standard Perumahan
Kebangsaan 2019 selain pihak berkuasa tempatan akan memastikan perincian
keperluan OKU dipatuhi dalam setiap kebenaran merancang dan tidak akan
diluluskan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Sumber: Bernama