PUTRAJAYA: Bagi memperkasa pendidikan digital negara,
Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksanakan projek rintis membabitkan 550
kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, 110
sekolah di seluruh negara itu turut termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih
dengan setiap lima bilik darjah sekolah terbabit akan ditingkatkan sambungan
internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan
secara hidbrid.
"Ini bermakna guru boleh mengajar dalam bilik darjah
dan pada masa sama murid boleh terbabit sama dalam proses itu dengan aktif
menerusi penggunaaan komputer riba dan skrin pintar di dalam kelas.
"Pada masa sama juga, murid di sekolah lain dapat akses
kepada pengajaran yang dilaksanakan oleh guru terbabit. Dalam konteks ini ia
memudahkan perkongsian pengajaran, yang mana guru di sekolah tertentu ingin membawa
murid mereka mengikuti pembelajaran atau topik tertentu dengan guru lain di
sekolah lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan
Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Putrajaya Presint 18(1), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu Radzi berkata, pihaknya kini pada peringkat
akhir untuk proses pemilihan sekolah bagi memastikan kelas berkenaan dapat
diadakan dengan kadar segera.
"Kita akan tingkatkan hubungan capaian internet di
bilik darjah terbabit supaya kelajuannya dapat penuhi keperluan untuk
laksanakan kelas hibrid ini.
"Dalam lima bilik darjah ini kita akan sediakan
televisyen pintar dan peranti berkaitan untuk membolehkan guru yang sedang
mengajar boleh dilihat secara langsung oleh murid yang lain.
"Maknanya, kalau lepas ini cikgu hendak berkongsi PdP
dengan guru di sekolah lain, dan kalau cikgu sekolah A nak bagi murid sekolah
lain tengok, ia dibuat secara dalam talian dan secara langsung.
"Begitu juga situasi sekiranya ada cikgu yang tidak
hadir sekolah, ajar subjek Sains, tidak ada cikgu hendak mengajar, jadi boleh
bawa masuk dalam kelas hibrid ini, masuk dalam siaran berkaitan, sekolah mana
yang ada ajar subjek sama ketika itu, murid boleh tengok cikgu sekolah terbabit
mengajar," katanya.
"Dalam masa terdekat kita akan maklumkan bagaimana
untuk akses, mungkin guna aplikasi DELIMa, atau 'Digital Educational Learning
Initiative Malaysia', jadi contohnya cikgu sekolah B sedang mengajar subjek
Sains, sekolah A nak tengok juga, jadi akan ada pendekatan atau sistem yang
diguna untuk akses kepada pengajaran itu nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pendekatan sewa guna
bagi perolehan komputer riba dan peranti teknologi lain untuk kegunaan sekolah
dilihat dapat mengurangkan beban pelbagai pihak bagi menyelenggara peralatan
itu sekiranya berlaku kerosakan.
Katanya, perkara itu antara transformasi KPM bagi
mengoptimumkan penggunaan komputer riba dan peranti berkaitan seperti projektor
dan mesin pencetak selaras dengan keperluan pendidikan digital di institusi
pendidikan.
"Pembekal akan baiki sekiranya berlaku kerosakan
peranti dan ia dapat memberi satu kelegaan kepada sekolah di seluruh negara
khususnya pentadbir sekolah untuk tangani masalah kerosakan komputer,"
jelasnya.
Sumber: astroawani