Kuala
Lumpur: Hasrat peminat badminton untuk melihat Lee Zii Jia beraksi di Masters
Malaysia tidak kesampaian apabila pemain perseorangan lelaki negara itu tidak
berada dalam senarai undian yang dikeluarkan petang tadi.
Perkara itu
disahkan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa tiada kelibat
perseorangan lelaki negara itu bagi saingan yang akan membuka tirai esok.
"Zii
Jia tidak akan bermain, begitu juga dengan Axelsen (Viktor), tapi Momota
(Kento) akan turun beraksi," kata wakil BAM berkenaan ketika dihubungi
Arena Metro, sebentar tadi.
Zii Jia
antara pemain negara yang menjadi fenomena di media sosial dan mampu menarik
ribuan penonton ke Terbuka Malaysia, minggu lalu.
Ketiadaan
Zii Jia dan Axelsen yang muncul juara Terbuka Malaysia, semalam jelas
menyebabkan kejohanan yang bernilai RM1.58 juta itu hilang seri.
VIKTOR
Axelsen muncul juara Terbuka Malaysia selepas menewaskan lelaki Jepun, Kento
Momota, semalam. FOTO ASWADI ALIAS.
Axelsen yang
mengesahkan penarikan dirinya menerusi akuan Instagram (IG) berkata, keputusan
itu dibuat bagi membolehkan badannya memperoleh rehat mencukupi.
Katanya, dia
sebenarnya amat menantikan penyertaan di Masters Malaysia dan Terbuka
Singapura, namun keadaan fizikal seperti perlu berehat selepas beraksi secara
berturut-turut sebelum ini.
"Pertama
sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan di
sepanjang minggu yang penuh sibuk ini. Saya sudah tentu sangat gembira dengan
keputusan dalam tiga kejohanan sebelum ini.
"Sesuatu
yang menarik dapat beraksi di Indonesia dan Malaysia di hadapan penyokong yang
menakjubkan. Terima kasih kepada pasukan saya, keluarga dan rakan atas sokongan
berterusan.
"Saya
sangat ingin untuk beraksi semula di Kuala Lumpur minggu ini dan kemudian di
Singapura, namun apabila saya bangkit daripada tidur pagi ini, badan dan kepala
saya seakan memberitahu ini adalah masa untuk berehat dan mengembalikan tenaga
sebelum kembali turun beraksi di gelanggang.
"Saya
memerlukan beberapa hari untuk berehat, meraikan kemenangan saya bersama
keluarga dan kemudian membina semula sasaran yang baharu," kata Axelsen di
IGnya.
Semalam,
pemain dari Denmark itu menewaskan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento
Momota 21-4, 21-7 dalam tempoh 34 minit, sekali gus muncul selaku pemain kedua
Eropah menjuarai Terbuka Malaysia selepas Pete Gade pada 2007.
Zii Jia pula
terkandas di pusingan kedua di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito
19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh satu jam enam minit.
Sumber:
hmetro