Wei Chong-Kai Wun Mara Ke Final Terbuka Taiwan
Selepas beberapa kejohanan, akhirnya pemain badminton
negara menamatkan penantian mara ke pentas final sebentar tadi.
Terima kasih kepada beregu lelaki negara, Man Wei
Chong-Tee Kai Wun yang menamatkan penantian itu apabila mara ke final Terbuka
Taiwan walaupun kejohanan ini hanya berstatus Super 300.
Kejayaan itu menyaksikan mereka hanya tinggal selangkah
lagi untuk meraih kejuaraan kali kedua musim ini.
Wei Chong-Kai Wun mara selepas menumpaskan pasangan
tuan rumah, Su Ching Heng-Ye Hong Wei 21-13, 22-20 dalam aksi separuh akhir
yang berlangsung selama 36 minit sekali gus merekodkan kemenangan pertama dalam
pertemuan sulung antara mereka itu.
Pilihan keenam kejohanan, Wei Chong-Kai Wun tidak
mempunyai masalah untuk menumpaskan lawan yang berada di ranking ke-93 dunia
itu meskipun beraksi di hadapan penyokong tuan rumah.
Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-36 dunia
dijadual bertemu pilihan utama dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang
menewaskan satu lagi beregu negara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci 21-10, 21-14.
Sebelum ini, Wei Chong-Kai Wun menjuarai Kejohanan
Antarabangsa India pada Januari lalu, menewaskan wakil tuan rumah, Krishna
Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18, 21-15.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh
Ee Wei tewas di tangan pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau
17-21, 21-17, 12-21 dalam tempoh 51 minit.
Seorang lagi wakil negara dalam acara perseorangan
lelaki, Soong Joo Ven turut tersingkir di separuh akhir apabila tewas di tangan
pilihan utama, juga wakil tuan rumah, Chou Tien Chen 12-21, 12-21.
Sumber: bharian
0 Response to "Wei Chong-Kai Wun Mara Ke Final Terbuka Taiwan"