KOTA BHARU: Seorang pengunjung terkejut dimaklumkan
memiliki wang yang tidak dituntut berjumlah RM12,000 hasil pemeriksaannya di
kaunter Wang Tak Dituntut (WTD) yang disediakan sempena program Jelajah
Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di
sini.
Menurut Ketua Unit WTD Jabatan Akauntan Negara
Kelantan, Nur Anis Sahibudin, senario itu antara 'kisah' menarik sepanjang dua
hari kaunter berkenaan beroperasi sejak Jumaat.
"Setakat semalam, sudah 1,273 orang datang membuat
pemeriksaan di kaunter ini. Rata-rata kelihatan terkejut kerana tidak tahu
memiliki wang yang tidak dituntut.
"Kaunter pemeriksaan yang disediakan ini secara
tidak langsung peluang serta kesedaran selain memudahkan pengunjung membuat
pemeriksaan sekiranya mereka ada wang yang tidak dituntut, hanya beri kad
pengenalan petugas akan membantu membuat pemeriksaan," katanya kepada
Bernama, hari ini.
Nur Anis berkata selain di kaunter, orang ramai juga
boleh membuat semakan WTD menerusi portal eGUMIS.
Seorang pengunjung Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi, 40,
berkata beliau mengetahui mengenai wang yang tidak dituntut namun tiada masa
untuk membuat pemeriksaan.
"Saya periksa tadi ada wang tidak dituntut di
dalam sebuah bank berjumlah lebih RM500, mungkin baki tu dari sewaktu zaman
belajar dulu... lama sangat memang tak ingat langsung.
"Baguslah ada perkhidmatan sebegini di program
Jelajah AKM Kelantan," katanya.
Jelajah AKM Kelantan yang bermula Jumaat akan berakhir
hari ini.
Sumber: BERNAMA