Cheras:
"Kerana tergoda dengan tawaran harga murah dan mendapat tajaan orang
kenamaan saya bersetuju untuk mengerjakan haji menggunakan visa furada,"
kata Yati, 50-an, bukan nama sebenar dari Kuala Lumpur.
Wanita
itu antara 380 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Kuala
Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Yati
yang juga seorang kakitangan swasta berkata, dia mengetahui pakej haji furada
itu melalui seorang rakan yang turut menjadi mangsa dan menghubungi seorang
daripada penganjur melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya,
dia pernah bertemu dengan lelaki berkenaan dan memberitahu mendapat pakej
istimewa melalui tajaan orang kenamaan yang tidak mahu dikenali kerana ingin
menderma dengan membayar kos tambahan sebanyak RM16,000.
Katanya,
dia mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji (TH) RM16,000 termasuk RM2,500 duit
gaji bulanan bagi mengadakan badal haji ahli keluarga.
"Saya
tertarik dan yakin dengan pakej ini kerana harganya murah selain penganjur
menyediakan kursus Haji Perdana pada pertengahan Jun lalu di sebuah hotel di
Shah Alam dengan menjemput penceramah dari kalangan orang ternama,"
katanya ketika ditemui hari ini.
Yati
berkata, penganjur turut menghantar surat rasmi memaklumkan visa sudah sedia
dan tarikh penerbangan juga ditetapkan antara 28 hingga 30 Jun.
Menurutnya,
pada 24 Jun penganjur mengeluarkan surat kali ke dua memaklumkan tarikh
penerbangan ditangguh kepada 5 Julai jam 4.30 petang.
Namun,
pada 2.30 petang, 5 Julai lalu, jemaah dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp
penerbangan ditangguhkan kepada 6 Julai dan mereka ditempatkan di sebuah hotel
secara percuma dengan menyediakan ceramah haji oleh seorang penceramah terkenal
bagi meyakinkan peserta.
"Mangsa
terdiri dari orang kampung, penghuni pondok, golongan profesional, kakitangan kerajaan,
swasta dan usahawan yang tergoda dengan pakej murah yang ditawarkan bermula
dari RM16,000 sehingga RM50,000.
"Saya
tertarik dengan pakej ini kerana dapat mengerjakan haji segera memandangkan
giliran dengan TH pada usia 99 tahun.
"Selepas
beberapa kali penerbangan ditangguhkan saya merasakan sudah tertipu dan
penganjur juga gagal dihubungi dan lesap bersama visa dan pasport kami,"
katanya.
Yati
menjelaskan, selepas merasa tertipu dia pulang ke rumah kira-kira 12 tengah
malam dengan dijemput suami.
Namun,
katanya, terdapat 80 peratus jemaah masih menaruh harapan kerana penganjur
memberi harapan menyediakan penerbangan khas pada 2.30 pagi serta meyakinkan
jemaah masih sempat mengerjakan wukuf di Arafah.
Sumber:
bharian