GANDINGAN
baharu beregu wanita Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti
menjulang kejuaraan pertama mereka di Terbuka Malaysia 2022 di sini, pada Ahad
meskipun baru sebulan membuat penampilan sulung.
Ini
adalah kejohanan terbuka ketiga mereka selepas kali pertama digandingkan pada
Indonesia Masters bulan lepas.
Apriyani-Siti
Fadia mengakhiri prestasi cemerlang mereka untuk dimahkotakan sebagai juara
selepas menundukkan Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China menerusi set penentuan
di Arena Axiata.
Gandingan
nombor 133 dunia itu menang set pertama 21-18, namun gagal mengekalkan
permulaan cemerlang mereka sekali gus membolehkan Shu Xian-Yu bangkit untuk
menang 12-21.
Ketika
ketinggalan tiga mata 4-7 pada set penentuan, pasangan Indonesia itu berjaya
merubah kedudukan untuk mendahului pada mata 13-12 seterusnya mengekalkan
rentak permainan bagi meraih mata kemenangan 21-19.
Ini
merupakan kejayaan kedua Apriyani-Siti Fadia selepas mereka meraih pingat emas
dalam Sukan SEA Hanoi pada Mei lepas, mengalahkan Benyapa Aimsaard-Nuntakarn
Aimsaard dari Thailand, 21-17, 21-14.
Apriyani,
24, nyata gembira dengan gelaran juara terbuka pertama mereka itu dan berharap
dapat meraih lebih banyak kejayaan bersama Siti Fadia, 21, pada masa depan
termasuk memenangi pingat emas kedua Sukan Olimpik di Paris pada 2024.
Apriyani,
tidak asing dalam arena badminton Indonesia memandangkan dia dan bekas
gandingannya, Greysia Polii pernah menewaskan pasangan China, Chen Qing
Chen-Jia Yi Fan, 21-19, 21-15 untuk merangkul emas dalam Sukan Olimpik Tokyo
tahun lepas.
Sumber:
Sinarharian