Tempahan Tertunggak Kereta Cecah 500,000 Unit
Tempahan tertunggak kereta dipercayai mencecah lebih
500,000 unit ketika ini berbanding 267,000 unit yang diumumkan oleh Kementerian
Kewangan pada 20 Jun lalu.
Penganalisis HLIB Research, Daniel Wong, berkata jumlah
keseluruhan industri (TIV) untuk tahun ini diunjurkan meningkat berikutan
jangkaan penghantaran tempahan tinggi yang berterusan pada bulan mendatang.
Beliau berkata, jangkaan penghantaran tempahan tinggi
itu disokong oleh tempahan tertunggak yang besar untuk pengeluar peralatan asli
(OEM) utama iaitu PROTON, PERODUA, Honda, Toyota dan jenama lain.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA), katanya turut
meningkatkan jangkaan TIV kepada 630,000 bagi 2022 berbanding 600,000 sebelum
ini.
"Kami menganggarkan tempahan tertunggak industri
ketika ini melonjak kepada lebih 500,000 unit berbanding 267,000 unit yang
dinyatakan semasa pengumuman Kementerian Kewangan mengenai pengecualian Cukai
Jualan dan Perkhidmatan (SST) berakhir untuk tempahan baharu menjelang 30 Jun
2022 masih terpakai untuk penghantaran kenderaan sebelum 31 Mac 2023,"
katanya dalam satu nota penyelidikan.
Wong berkata, berkata, walaupun jangkaan pemulihan TIV
berterusan sehingga akhir tahun dengan disokong oleh paras tempahan tertunggak
yang tinggi, pihaknya masih mengekalkan penarafan 'neutral' bagi sektor
automotif.
Namun, beliau menjangkakan TIV akan menjadi perlahan
pada 2023.
PERODUA berjaya mengekalkan kedudukan utamanya dengan
penguasaan pasaran 38.4 peratus, manakala tempahan tertunggak terkini mencecah
lebih 243,000 unit, satu pencapaian cemerlang bagi pengeluar kereta berkenaan.
Model baharu Alza yang baharu dilancarkan telah
menerima tempahan memberangsangkan lebih 30,000 unit dan PERODUA komited
memenuhi tempahan tertunggak menjelang 31 Mac 2023.
PROTON pula menjangkakan untuk meningkatkan
penghantarannya pada separuh kedua 2022, sekali gus membolehkan pengeluar
kereta nasional itu mencapai sasaran jualan antara 136,000 hingga 150,000 unit.
Tempahan tertunggak PROTON lebih 150,000 unit, didorong
oleh permintaan amat menggalakkan dan pengurusan terus memberi tumpuan untuk
memenuhi tempahan tertunggak yang tinggi untuk model sedia ada sebelum
memperkenalkan model Geely baharu pada 2023.
Industri automotif menjual 331,386 unit bagi tempoh
Januari hingga Jun tahun ini, melonjak 33 peratus berbanding 249,178 unit yang
dicatatkan tempoh sama tahun lalu dengan kenderaan penumpang menyumbang 293,540
unit, manakala baki 37,846 unit lagi disumbangkan oleh kenderaan komersial.
MAA menyemak naik unjuran TIV bagi 2022 kepada 630,000
unit bersandarkan jangkaan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan selepas
merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2022.
Unjuran angka TIV lebih baik tahun ini juga akan dipacu
oleh pengenalan model baharu dan kenderaan elektrik penuh yang ditawarkan pada
harga berpatutan dan kompetitif yang mendorong minat belian pelanggan.
Sumber: bharian
0 Response to "Tempahan Tertunggak Kereta Cecah 500,000 Unit"