Kementerian
Pertahanan mengekalkan peraturan sedia ada pemberian pencen kepada bekas
anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu mempunyai perkhidmatan diakui
sekurang-kurangnya 21 tahun.
Ketua
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Datuk
Dzulkarnain Ahmad, berkata ia susulan desakan veteran ATM pada perhimpunan pada
6 Jun lalu yang menuntut pemberian pencen diberikan kepada veteran ATM tidak
berpencen.
"Peraturan-peraturan
Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 menetapkan bagi
melayakkan seseorang askar menerima pencen perkhidmatan, ia mestilah mempunyai
perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.
"Majoriti
pemberhentian pada tempoh perkhidmatan 12, 15 dan 18 tahun adalah atas
permohonan askar itu sendiri, namun ada juga pemberhentian atas dasar
kepentingan perkhidmatan (mereka yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan).
"Kementerian
Pertahanan berpendapat peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan
kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan ATM sentiasa terpelihara,"
katanya pada sidang taklimat bersama pengarang media di sini, hari ini.
Berdasarkan
rekod pihaknya, seramai 76,424 veteran ATM tidak berpencen di negara ini.
Bagaimanapun,
Dzulkarnain berkata, bantuan lain sama ada wang tunai secara 'one-off' atau
ubat-ubatan tetap diterima seperti mereka yang berpencen.
"Nak
kata mereka kurang terima bantuan sebenarnya sama sahaja, malah orang yang
terima pencen rasa 'dianaktirikan' sebab JHEA urus semua berkaitan veteran yang
tidak berpencen, manakala yang berpencen kena buat sendiri tuntutan (ubat) di
Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.
Beliau
berkata, sekurang-kurangnya 30,000 hingga 40,000 veteran ATM tidak berdaftar
dengan JHEV.
Daripada
jumlah itu, katanya, ada yang hanya berkhidmat 10 tahun, berhenti ketika masih
muda, mendapat kerja lain dan bertukar alamat.
"Bila
semakin tua dan sakit, anak-anak tak tahu pun ayah mereka bekas askar.
"Mereka
tahu ada persatuan jaga kebajikan dan sebelum berhenti mungkin ada tinggalkan
nama dan alamat, cuma bila dah lama ada yang bertukar alamat tetapi tidak kemas
kini dengan JHEV.
"Kami
minta mereka yang tidak berpencen ini datang ke JHEV atau cawangan JHEV di
seluruh negara untuk kita kemas kini data dan tentusahkan status veteran supaya
bantuan selayaknya dapat diberikan kepada mereka," katanya.
Berdasarkan
data terkini, katanya, seramai 105,893 veteran berpencen daripada keseluruhan
182,317 veteran ATM berada dalam rekod JHEV.
Daripada
jumlah itu, seramai 38,092 veteran berpencen dan 40,578 veteran tidak berpencen
berusia 60 tahun ke atas manakala 80 peratus daripada jumlah keseluruhan veteran
adalah golongan B40.
"Bagi
memastikan kebajikan mereka terjaga, kami menjayakan program kerjaya kedua dan
sosioekonomi menerusi kerjasama swasta dan syarikat berkait kerajaan (GLC) bagi
terus membantu veteran ATM, selain memperkasa skim bantuan sedia ada termasuk
kepada veteran kalangan orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Sumber:
bharian