KUALA
LUMPUR: Kem badminton Malaysia menerima tamparan hebat selepas tiada seorang
pun pemain perseorangan negara sama ada lelaki atau wanita melangkah ke suku
akhir Masters Malaysia, di sini esok.
Pemain
perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong terkandas pada aksi pusingan kedua
di Arena Axiata di sini hari ini, selepas tewas 21-18, 21-16 di tangan pemain
pilihan keempat kejohanan, Chou Tien Chen dari Taiwan.
Biarpun
tewas, pemain nombor 48 dunia itu berhak diberi pujian kerana mempamerkan
semangat yang tinggi tetapi kelebihan pengalaman Tien Chou membawanya mara ke
suku akhir.
Tze
Yong berkata beliau hanya perlu meningkatkan tahap kekuatan fizikal dan
staminanya untuk menyaingi pemain dengan ranking lebih tinggi seperti lawannya
hari ini di masa hadapan.
Pemain
berusia 22 tahun itu berkata penyertaan dalam Terbuka Malaysia minggu lalu dan
Masters Malaysia meningkatkan keyakinannya untuk beraksi dalam Sukan Komanwel
di Birmingham, England yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8
Ogos.
"Saya
tidak mahu memikirkan pingat di Sukan Komanwel pada masa ini kerana saya
berharap untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan di sana,"
katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Tze
Yong tersingkir awal dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022 selepas
ditewaskan Lu Guang Zu dari China, 16-21, 23-21, 18-21.
Pemain
perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tewas kepada pemain dari Taiwan Tai Tzu
Ying pada Perodua Malaysia Masters 2022 di Arena Axiata. - Foto NSTP/Fathil
Asri
Biarpun
pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei bermain secara
agresif untuk mengatasi bintang Taiwan, Tai Tzu Ying 21-16 dalam set pertama,
bekas juara remaja dunia itu kelihatan tidak bertenaga dalam set seterusnya
sebelum tewas kepada Tzu Ying 7-21, 9-21.
Jin
Wei yang adalah pemain nombor 69 dunia sedih kerana tidak dapat meneruskan
kemaraannya dan mengakui terdapat jurang besar antara beliau dengan Tzu Ying
yang berada di kedudukan kedua ranking dunia.
"Saya
memberikan 200 peratus dalam set pertama dan kemudian saya hilang tenaga untuk
berjuang dalam set kedua dan ketiga. Saya perlu meningkatkan stamina saya dan
mempelajari banyak perkara daripada Tzu Ying terutamanya dalam strategi dan
kesabaran beliau sepanjang perlawanan," katanya.
Pada
masa sama, juara Belia Olimpik 2018 itu berkata beliau kini selesa dengan
pilihannya untuk beraksi secara profesional tetapi mengalu-alukan sebarang
bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN)
untuk menjadikan beliau seorang pemain terkemuka di masa hadapan.
"Ya,
semuanya bergantung kepada mereka (MSN dan ISN) tetapi saya sudah membuat
keputusan dan bersedia untuk ini (menjadi profesional). Jika mereka ingin
membantu ia adalah satu bonus kepada saya," katanya.
Sumber:
BERNAMA