Malaysia
hanya selangkah untuk bergelar juara apabila mengesahkan tempat ke final
Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFF 2022 selepas 'mengajar' Vietnam 3-0 di
Stadium Patriot Chandrabhaga, sebentar tadi.
Ini
adalah final keempat berturut-turut buat Harimau Muda sejak edisi 2017 namun
mereka hanya berjaya menjulang kejuaraan pada edisi 2018 yang ketika itu turut
berlangsung di Indonesia.
Pada
aksi terbabit, Malaysia mengimbangi kekuatan Vietnam pada babak pertama apabila
bertahan dengan mantap untuk menutup lawan daripada menghadirkan ancaman ke
arah gawang gol Malaysia.
Serangan
Vietnam yang beberapa kali mudah dipatahkan Malaysia 'menyesakkan' lawan
sehingga memaksa mereka melakukan percubaan jarak jauh namun tidak memadai
untuk menguji pintu gol negara.
Sebaliknya,
Vietnam yang terkejut apabila Malaysia 'menggoncangkan' gawang mereka menerusi
percubaan lencong Adam Farhan Mohd Faizal yang menewaskan Cao Van Binh pada
minit ke-25.
Bersambung
babak kedua, penguasaan bola yang dimiliki Vietnam tidak mendatangkan sebarang
masalah buat Malaysia yang terus kental menafikan ancaman yang cuba diberikan
pasukan lawan.
Gawang
Malaysia cemas pada minit ke-54 apabila tandukan Nguyen Anh Tu terkena tiang
disusuli satu lagi percubaan pada minit ke-57 daripada Vietnam namun ditutup
dengan kemas oleh pertahanan negara.
'Keseronokan'
Vietnam menyerang dihukum gandingan dua 'Haqimi' menerusi serangan balas pantas
apabila hantaran Haqimi Azim Rosli ditampan Haiqal Haqeemi Hairi untuk
menewaskan Van Binh buat kali kedua pada minit ke-70.
Pemain
gantian, Haykal Danish Mohd Haizon terus menambah derita Vietnam dengan gol
ketiga Malaysia selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Vietnam yang
tergelincir pada minit ke-87.
Menanti
anak buah Hassan Sazali Waras di final nanti adalah sama ada juara lima kali,
Thailand ataupun Laos yang akan membuat perhitungan di venue sama, jam 9 malam
ini.
Aksi
penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada sebelah petang sementara final
pada sebelah malam di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jumaat ini.
Sumber:
bharian