Kuala Lumpur: "Saya terpikat dengan isteri kerana
dia mempunyai hati yang baik dan tidak gemar bercakap buruk mengenai orang
lain," kata Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, mengenai keperibadian isterinya,
penyanyi Wany Hasrita, 30.
Terdahulu, pasangan sejoli ini ditemui media pada
majlis kesyukuran sempena pernikahan mereka pada Jumaat lalu di Ruscus Hall
Forest Valley, di sini, malam tadi.
Mohd Al-Adib juga berkata sikap Wany yang tidak suka
merungut apabila ditimpa masalah dan sentiasa mengucapkan Alhamdulillah amat
membuatkan dia tertarik sehingga jatuh cinta dengan penyanyi lagu Menahan Rindu
itu.
Ditanya pula mengenai kesediaannya untuk memasuki
'dunia glamor' isteri tersayang selepas ini, Mohd Al-Adib berkata dia okey saja
selagi ia tidak mengganggu kehidupan peribadinya dan karier sebagai
juruterbang.
"Bagi saya, kalau peminat Wany setakat meminta
untuk ambil gambar dan berborak biasa, itu tiada masalah. Asalkan, jangan
sampai mengganggu kehidupan peribadi dan karier saya saja.
"Untuk syarat Wany dalam meneruskan karier
seninya, saya mudah saja. Apa-apa yang dia akan buat atau dia tanya boleh buat
ke tidak, selalunya saya akan tanya dia balik, kalau saya buat okey tak? Macam
'reverse psychology' sebab wanita memang selalu rasa dia yang betul kan?
"Apapun, syarat utama yang saya beritahu dia ialah
labuhkan tudung. Itu paling utama. Untuk masak pula, zaman sekarang sudah
berubah dan banyak kemudahan untuk mendapatkan makanan," katanya kepada
Harian Metro.
Ditanya juga apakah hidangan pertama sudah dimasak buat
suaminya, Wany Hasrita berkata buat masa ini dia masih belum berkesempatan lagi
kerana mereka mahu memberi fokus terhadap penganjuran majlis kesyukuran yang
diadakan itu.
"Apabila urusan majlis sudah selesai, esok baharu
saya akan fikir nak masak apa untuk suami. Apa-apapun, biar kami selesaikan
segala urusan majlis ini dulu," katanya masih belum memutuskan destinasi
bulan madu dan juga tidak merancang cahaya mata.
Pada Jumaat lalu, dengan dua kali lafaz Wany Hasrita
selamat bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib.
Pasangan ini diijabkabulkan oleh bapa pengantin
perempuan, Hasbullah Hassan dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu
terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan media.
Sumber: METROTV