KOTA
KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
menegaskan bahawa beliau bukan tali barut yang menghalang usaha menuntut
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama dibahaskan oleh
pemimpin-pemimpin Sabah.
Sebaliknya,
Bung Moktar berkata beliau hanya menyarankan supaya pemimpin Sabah mengambil
langkah bijak dalam usaha menuntut hak negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan.
"Saya
bukan tali barut, saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah
bertindak secara bijak dan saya tidak pernah berkata untuk menidakkan
perjanjian MA63.
"Apa
yang saya kata pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian tetapi
sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun
dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai," katanya di dalam satu
kenyataan.
Ia
sebagai jawapan balas terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan
pemimpin BN mengenai cadangan rundingan baharu di antara kerajaan negeri dan
Persekutuan.
Bung
Moktar yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menambah,
pemimpin yang bijak mampu mencapai jalan penyelesaian tanpa menunjukkan emosi
keterlaluan.
Pada
masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa 'New Deal' yang disebut
baru-baru ini oleh Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan merujuk
kepada rundingan penghapusan sekatan-sekatan di dalam perlembagaan yang
menghalang pelaksanaan MA63 dan bukannya perjanjian baru menggantikan MA63.
Hanya
dengan langkah itu menurut beliau penyelesaian berhubung isu peruntukan Sabah
dapat dicapai dan bukannya melalui langkah popular yang diguna pakai oleh
sesetengah pihak yang dilihat tidak efektif.
"Hakikatnya
walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali, dibahas beribu kali,
pemimpin demi pemimpin datang dan pergi, ada pemimpin dan orang perseorangan
yang membawa isu ini dan ada yang masuk penjara kerana terlalu beremosi atau
'extreme', namun isu MA63 masih tidak selesai. Perjuangan untuk mendapatkan hak
Sabah dalam MA63 masih tidak dicapai," kata beliau.
Bung
Moktar turut membidas kenyataan bekas pemimpin BN yang kini lantang menyalahkan
parti itu hari ini mengenai MA63 tetapi tidak berbuat demikian sewaktu berada
di dalam BN dahulu.
Beliau
berpendapat bahawa tindakan menyalahkan BN mengenai MA63 hanyalah mainan politik
musuh BN menjelang PRU-15.
"Dalam
isu ini ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden Parti
Bersatu Sabah (PBS), pemimpin Warisan, pemimpin UPKO, mereka semua ini berada
dalam kerajaan BN dahulu.
"Namun,
apabila berada dalam kerajaan mereka memilih untuk berdiam diri, apabila BN
kalah merekalah yang meninggalkan BN atau melompat terlebih awal,"
katanya.
Sumber:
astroawani