Kota Bharu: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang
memecahkan cermin kereta dan mengugut pemandu wanita di Simpang Empat Limbat,
Khamis lalu.
Polis turut melakukan serbuan di rumah suspek di Nilam
Puri pada jam 2.30 pagi tadi namun lelaki berusia lingkungan 40-an itu tiada di
kediaman dipercayai melarikan diri.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun
berkata, dalam kejadian 5.45 petang Khamis lalu, mangsa berusia 35 tahun
memandu Perodua Axia berseorangan di Simpang Empat Limbat.
"Secara tiba-tiba suspek menghalang laluan mangsa
dan berhenti di tengah jalan. Suspek kemudian menghampiri kereta wanita itu
lalu memecahkan cermin serta mengugut mangsa.
"Suspek sudah dikenal pasti dan pihak Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu dan Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menjalankan pemeriksaan serta serbuan di
kediaman suspek di Nilam Puri namun lelaki itu menghilangkan diri," katanya
menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu dua rakaman video masing-masing berdurasi dua
minit 16 saat dan 36 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak
semalam.
Muhamad Zaki berkata, usaha mengesan suspek sedang
digerakkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK),
Seksyen 279 KK dan 427 KK.
"Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama
tempoh enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan
memandu dengan berbahaya dan hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda
atau dengan kedua-duanya bagi kesalahan khianat harta benda.
"Bagi kesalahan mendatangkan ugutan jenayah, jika
sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau
dengan denda atau kedua-duanya sekali.
"Sehubungan itu, kami mengingatkan orang ramai
supaya tidak bertindak mengikut perasaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya dan
tindakan tegas akan diambil jika perkara itu mendatangkan ancaman kepada
individu yang lain," katanya.
Sumber: Harian Metro