Sabah Terus Hambat JDT
Sabah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan
Petaling Jaya (PJ) City 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),
sebentar tadi.
Sabah yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk
kapten, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali tampak bergelut pada babak pertama
dengan PJ City dilihat lebih banyak melakukan serangan berbahaya.
Selepas setengah jam permainan berlangsung, Darren Lok
berjaya meletakkan PJ City di depan selepas penyerang kebangsaan itu menanduk
masuk bola sepakan sudut V Ruventhiran pada minit ke-34.
Namun, entah apa yang diperkatakan jurulatih, Datuk Ong
Kim Swee di bilik persalinan kepada barisan pemain Sabah apabila menyaksikan
permainan berbeza ditampilkan skuad Sang Badak sebaik bermula babak kedua.
Hasilnya, Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi
penyudah Taiki Kagayama yang melakukan tindakan susulan selepas percubaan
Nazirul Naim Che Hashim diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz pada
minit ke-48.
Tindakan Kim Swee membawa masuk Irfan Fazail juga
berhasil apabila dia bijak menampan masuk bola hantaran seorang lagi pemain
gantian, Maxsius Musa pada minit ke-75, sekali gus menjadi gol kemenangan
Sabah.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah terus mengejar
pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengumpul 28 mata, hanya satu mata
di belakang Harimau Selatan.
Sumber: Berita Harian
0 Response to "Sabah Terus Hambat JDT"